Neymar badut sejati, kata pemain Peru
Astro Arena
Oktober 16, 2020 13:03 MYT
Oktober 16, 2020 13:03 MYT
PERTAHANAN Peru, Carlos Zambrano, melancarkan kritikan terhadap tingkah laku Neymar dengan melabelkan bintang Brazil dan Paris Saint-Germain (PSG) itu sebagai 'badut'.
Neymar melakar hatrik ketika Brazil bangkit dua kali untuk mengalahkan Peru 4-2 dalam kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan (CONMEBOL), kelmarin.
Neymar memenangi sepakan penalti dan menyudahkan kedua-duanya untuk melangkaui Ronaldo menduduki tangga kedua senarai penjaring terbanyak Brazil.
Zambrano dibuang padang pada penghujung perlawanan selepas rakan sepasukan merangkap pemain gantian, Carlos Caceda, menempah nasib yang sama, tiga minit sebelumnya dalam pertemuan di Lima itu.
Biarpun mengakui kualiti dan status Neymar dalam bola sepak, Zambrano -- yang mewakili Boca Juniors -- menempelak bekas penyerang Barcelona itu.
"Secara jujur, dia adalah pemain yang hebat, salah seorang terbaik di dunia tetapi bagi saya dia adalah badut sejati," kata Zambrano kepada program Televisyen Amerika 'La banda del Chino'.
"Neymar sedar segala yang dilakukannya di atas padang, dia adalah pemain yang hebat tetapi mudah terjatuh apabila diberi sedikit cabaran.
"Di dalam kotak penalti, dia merebahkan badannya sebanyak empat atau lima kali untuk melihat apakah pengadil akan memberikannya sepakan penalti dan pada akhirnya, dia mencapai hasrat golnya dengan dua penalti."
Zambrano menambah: "Mentang-mentanglah mereka adalah Brazil jadi pengadil akan segera menilainya melalui video bantuan pengadil (VAR). Sama ada drama itu positif atau negatif, mereka tetap akan menilainya kerana ia adalah Brazil."
Dengan 64 gol antarabangsa, pemain berusia 28 itu sudah melepasi rekod Ronaldo (62) dan dipisahkan dengan Pele (77) bagi rekod jaringan sepanjang zaman.
Prestasi Neymar ketika bertemu Peru juga merupakan kali keempat dia meledak tiga atau lebih gol lagi dalam sesebuah perlawanan tetapi ini yang pertama dalam perlawanan kompetitif.
- StadiumAstro.com / Shaiful Shamsudin