Neymar akan jalani pembedahan selepas cedera ACL
Bernama
Oktober 19, 2023 17:13 MYT
Oktober 19, 2023 17:13 MYT
LONDON: Penyerang Brazil, Neymar akan menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) semasa Brazil tewas 0-2 kepada Uruguay pada aksi kelayakan Piala Dunia, Selasa lepas.
Bekas penyerang Barcelona dan Paris St Germain itu menangis selepas dibawa keluar padang dalam aksi di Montevideo dan kelab semasa diwakili pemain berkenaan Al-Hilal mendedahkan tahap kecederaannya.
"Ujian perubatan yang dijalani oleh 'NEYMAR', mengesahkan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) dan Meniscus tear injury pada lututnya, beliau akan menjalani pembedahan dan program rawatan akan ditentukan kemudian," kata Al-Hilal di X, lapor PA Media.
Brazil ketinggalan hasil gol pembukaan Darwin Nunez di Estadio Centenario apabila Neymar jatuh selepas berlanggar dengan De la Cruz sebelum aksi separuh masa pertama tamat.
Pemain berusia 31 tahun itu menangis ketika diusung keluar dan menutup mukanya dengan tangan.
Setelah De la Cruz memastikan kemenangan Uruguay, Neymar dilaporkan meninggalkan stadium dengan topang ketiak.
-- BERNAMA