AUSTRIA 2 JERMAN 1

Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer, menamatkan penantian lamanya untuk kembali beraksi apabila tampil buat skuad kendalian Joachim Low, namun skuad kebangsaannya tewas 2-1 di tangan Austria dalam aksi persahabatan di Woertherseestadion, awal pagi tadi.

Pemain Bayern Munich itu beraksi buat kali pertama sejak mengalami kecederaan kaki pada September lalu, namun seakan-akan terpaksa melupakan impian itu selepas hujan lebat membuatkan aksi di Klagenfurt ditangguhkan.

Setelah pihak penganjur perlawanan melakukan tiga pemeriksaan berasingan, perlawanan akhirnya dimulakan selepas tertangguh selama hampir dua jam.

Aksi dimulakan Jerman dengan cemerlang apabila Mesut Ozil bijak menggunakan kesempatan daripada kesilapan penjaga gol lawan, Jorg Siebenhandl, untuk memberikan pendahuluan buat juara Piala Dunia 2014 itu pada minit ke-11 perlawanan.

Jerman sepatutnya menggandakan pendahuluan 10 minit kemudian tetapi percubaan rendah Julian Brandt dapat diselamatkan oleh Siebenhandl menggunakan kakinya.

Austria yang kini berada di bawah bimbingan Franco Foda akhirnya menyamakan kedudukan selepas aksi separuh masa kedua disambung selama lapan minit.

Pemain pertahanan, Martin Hinteregger, bijak menghidu peluang hasil daripada sepakan sudut David Alaba sebelum melepaskan rembatan voli sehingga membuatkan Neuer terpaku.

Walaupun Jerman lebih banyak mengawal permainan, Austria ternyata lebih garang apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-69.

Hantaran jauh Julian Baumgarting disambut baik oleh Stefan Lainer, sebelum dia membuka ruang buat Alessandro Schopf melepaskan percubaan kaki kanan melepasi Neuer.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga ke wisel penamat dibunyikan, sekaligus membuatkan Jerman terus kempunan mendapatkan suntikan semangat selepas turut tewas di tangan Brazil 1-0 dalam perlawanan sebelum ini.