Netizen ragu jersi PQPTRW mampu kuruskan badan, putihkan kulit
Nizam Bakeri
Februari 10, 2016 17:26 MYT
Februari 10, 2016 17:26 MYT
Empat jersi jenama DSV (Datuk Seri Vida) yang bakal menjadi jersi pasukan PQPTRW dikatakan mempunyai kelebihan untuk menguruskan badan dan memutihkan kulit.
Menurut BH Online, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman selaku penaja utama pasukan mendakwa benang jersi berkenaan direka khas bagi kedua-dua tujuan tersebut dengan teknologi terkini kilang di tiga negara iaitu China, Thailand, dan Vietnam.
"Jersi ini bermula daripada benang yang mana ia turut berfungsi melancarkan perjalanan darah kepada pemakai selain menghasilkan kelembapan daripada peluh pada badan, sekali gus mampu membakar lemak. Proses mengeringkan peluh itu akan menjadikan kulit putih seolah-olah baharu saja selesai sauna.
"Saya sudah lama membuat rekaan benang ini bagi menghasilkan produk baharu untuk kurus dan putih. Tapi alang-alang mahu reka jersi, jadi saya terus aplikasikan kelebihan ini kepada rekaan jersi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW)," jelasnya.
Reaksi netizen
Rata-rata netizen berkongsi keraguan mereka tentang kemampuan jersi tersebut untuk menguruskan badan.
Akaun Facebook Pseudosience Watch misalnya menerangkan konsep sains mudah seperti fungsi memerangkap peluh bagi fabrik jenis poliester nilon sememangnya normal dan tidak ada luar biasa.
Akaun itu turut menjelaskan wujudnya fabrik pakaian aktiviti lasak yang mempunyai kelebihan untuk menghalang sinaran terik matahari dengan rating SPF (Sun Protection Factor) tertentu namun tidak pernah pula mana-mana pengilang mendakwa pakaian mereka mampu memutihkan kulit.
Terdapat juga netizen yang menyambut pengumuman Datuk Seri Vida itu dengan jenaka dan pandangan sinis.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang tertarik dengan ciri unik jersi tersebut dan meluahkan keinginan untuk membeli.