Ternyata dalam kesuraman suasana bola sepak di negara ini, kemenangan Faiz setidak-tidaknya memberi sedikit kegembiraan dan harapan buat pencinta bola sepak tanah air.
Di laman sosial, perasaan bangga dikongsi bukan sahaja dalam kalangan pemain bola sepak, tetapi juga peminat.
Tidak ketinggalan, komuniti penggiat seni tanah air juga tumpang teruja dengan pencapaian Faiz.
Namun, antara puji-pujian yang diterima pemain Pulau Pinang itu, masih ada sebilangan yang masih tidak berpuas hati.
Antara yang dipertikaikan mereka adalah mengapa Faiz tidak berucap dalam bahasa Malaysia, dan tentang 'janji' memakai baju Melayu yang tidak ditunaikan.
Komen-komen remeh itu segera dijawab dan dimatikan oleh netizen yang nyata tidak bersetuju dengan sikap segelintir masyarakat Malaysia yang hanya gemar mencari kesalahan.
Dari maklumat yang diterima, Faiz terpaksa berucap dalam bahasa Inggeris kerana FIFA hanya membenarkan empat bahasa digunakan di atas pentas acara tersebut, dan bahasa Malaysia tidak termasuk dalam empat bahasa itu.
Faiz juga sebelum ini memaklumkan terpaksa membatalkan hasrat memakai baju Melayu kerana cuaca yang terlalu sejuk.