Netherlands ke suku akhir, tewaskan Mexico 2-1

Haider Yutim
Jun 29, 2014 07:30 MYT
Netherlands ke suku akhir, tewaskan Mexico 2-1
Netherlands bangkit menewaskan Mexico 2-1 dalam perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 2014, melayakkan mereka untuk mara ke suku akhir.
Perlawanan yang berlangsung di Arena Castelao, Fortaleza malam tadi menyaksikan dua pasukan saling bertungkus lumus mempertahankan benteng masing-masing dari dibolosi lawan.
Namun pasukan El Tri telah mendominasi sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama.
Serangan diteruskan sehingga awal separuh masa kedua, menghasilkan gol yang pertama untuk perlawanan tersebut menerusi rembatan kaki kiri pemain tengah Mexico, Giovani Dos Santos pada minit ke-48.
Selepas gol itu dijaringkan, pasukan Oranje pula bangkit dan mula mengasak, namun berjaya dihalang oleh penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa.
Bagaimanapun pada minit ke-88, asakan Belanda akhirnya berhasil apabila mereka berjaya menembusi gawang pihak lawan dan menyamakan kedudukan melalui pemain tengah, Wesley Sneijder.
Persaingan sengit di antara kedua-dua pasukan dilihat mampu membawa perlawanan ke masa tambahan.
Namun kesilapan telah dibuat oleh pemain pertahanan Mexico, Rafael Marquez pada minit ke-94 apabila dia menjatuhkan pemain tengah Belanda, Arjen Robben di kotak penalti, menyebabkan dia dilayangkan kad kuning dan Belanda pula dianugerahkan sepakan penalti.
Penalti tersebut telah disempurnakan dengan mudah oleh penyerang Belanda, Klaas Jan Huntelaar.
Keputusan akhir perlawanan, Belanda 2-1 Mexico.
PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Arjen Robben (Belanda)
#2014 #Arjen Robben #Belanda #Mexico #Piala Dunia
;