Netherlands buli penyandang juara 5-1

Ian Johan Ariff
Jun 13, 2014 06:29 MYT
Tandukan terbang Robin van Persie - Foto AFP
Juara bertahan Sepanyol, diaibkan Netherlands 5-1 dalam perlawanan tumpuan kumpulan B.
Arjen Robben dan Robin van Persie muncul wira Netherlands dengan menjaringkan dua gol.
Kemenangan sekaligus menebus kekalahan Netherlands kepada Sepanyol pada final Piala Dunia di Afrika Selatan empat tahun lalu.
Sepanyol terlebih dahulu memperoleh penalti selepas Diego Costa dijatuhkan pertahanan Netherlands Stefan de Vrij.
Penalti disempurnakan Xabi Alonso untuk Sepanyol mendahului 1-0 pada minit ke-27.
Netherlands kemudian mendapat gol penyamaan seminit sebelum tamat babak pertama menerusi tandukan van Persie yang menerima hantaran jauh Daley Blind.
Bersambung di babak kedua, Robben melepasi kawalan dua pertahanan Sepanyol sebelum meledak gol kedua Netherlands pada minit ke-53.
De Vrij kemudian menebus kesilapan awalnya dengan menjaringkan gol ketiga Netherlands hasil sepakan sudut pada minit ke-64.
8 minit kemudian, van Persie menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan ini selepas penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas membuat kesilapan di dalam kawasan gol.
Sepuluh minit sebelum tamat, Robben meledak gol kelima Netherlands apabila lariannya gagal dikejar pertahanan Sepanyol Sergio Ramos.
Netherlands hampir mendapat gol keenam, namun Casillas berjaya menghalang cubaan Georginio Wijnaldum dan cubaan susulan Robben.
Ini merupakan kali pertama juara finalis Piala Dunia bertembung di peringkat kumpulan.
Sepanyol menewaskan Netherlands 1-0 pada final Piala Dunia di Afrika Selatan 2010.
#Brazil 2014 #FIFA #Netherlands #Ola Bola #Piala Dunia #sepanyol
;