Nelo Vingada harus dipercayai bagi keputusan terbaik Harimau Malaya

Astro Arena
September 2, 2017 19:53 MYT
Pemain skuad kebangsaan bergambar bersama Nelo Vingada dan pembantunya, Tan Cheng Ho pada sesi latihan bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2019 di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, 29 Mei, 2017. --fotoBERNAMA / Fail
Susulan gagal meraih keputusan positif dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad Harimau Malaya cetuskan kebimbangan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong pada 5 September ini.
Pasukan bimbingan Nelo Vingada yang dibarisi 11 muka baru gagal cipta impak apabila kecundang 1-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Syria 22 Ogos lalu.
Harimau Malaya turut dikecewakan Myanmar 0-1 pada 29 Ogos.
Skuad negara melakukan persediaan lebih rapi untuk berdepan Hong Kong berbanding ketika tumpas 1-2 kepada Lubnan dalam perlawanan pertama kelayakan Jun lalu.
Walaupun keputusan perlawanan sebelum ini tidak berpihak ke pasukan negara, penganalisis bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri yakin Harimau Malaya dikendalikan seorang yang arif serta berpengalaman luas dalam kancah bola sepak antarabangsa.
“Kita seharusnya memuji pendekatan Vingada yang yakin dengan pasukannya sepertimana dapat dilihat apabila mengekalkan kesebelasan hampir sama untuk kedua-dua perlawanan sebelum ini," ujarnya.
"Pendekatan ini merupakan perkara positif bagi bertemu Hong Kong di Melaka,” ujarnya.
Walaubagaimanapun, Asmawi yang juga merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia, berpendapat skuad negara perlu memperkemas beberapa aspek permainan jika ingin kekal kompetitif dalam pusingan kelayakan.
Antaranya, skuad Vingada harus mengekalkan fokus sepanjang permainan dan meningkatkan ketajaman pada jentera serangan.
#Asmawi Bakiri #bola sepak #FAM #harimau Malaya #Nelo Vingada #Piala Asia 2019
;