Nelo Vingada dilantik Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Madiha Abdullah
Mei 15, 2017 12:17 MYT
Vingada melahirkan rasa bangga dengan pelantikan itu dan tidak sabar untuk memulakan tugas. Gambar Facebook FAM
PENANTIAN untuk mengetahui siapa yang bakal menduduki kerusi panas jawatan Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan terjawab hari ini apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada mengisi posisi tersebut.
Eduardo yang lebih dikenali sebagai Nelo Vingada, berasal dari Portugal dan mempunyai rekod yang baik sebagai jurulatih beberapa negara kuasa besar bola sepak Asia, antaranya Arab Saudi, Jordan dan Iran.
Vingada, 64, juga pernah membimbing beberapa kelab terkemuka Asia seperti Seoul FC (Korea Selatan), Persepolis FC (Iran) dan Dalian Shide FC (China).
Paling terbaharu, Vingada membawa kelab NorthEast United FC ke tempat kelima dalam Liga Super India.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM, Vingada digambarkan sebagai jurulatih yang tegas, selain mempunyai personaliti dominan dan kesungguhan untuk mencapai misinya.
"Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami.
"Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan," kata Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Vingada, dalam kenyataannya, merasa bangga dengan pelantikan itu dan tidak sabar untuk memulakan tugas.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana telah menghubungi saya dan kemudian bertemu dengan saya di Johor baru-baru ini.
"Ia merupakan satu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Malaysia. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya tidak sabar untuk memulakannya. "
Beliau akan tiba di Malaysia pada 25 Mei ini, dan akan terus memulakan tugas mempersiapkan Harimau Malaya untuk menghadapi Korea Utara dalam perlawanan kelayakan Piala Asia, 8 Jun ini.
#Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada #FAM #harimau Malaya #jurulatih
;