Negeri Sembilan-T-Team kekal kelompok bawah liga

Astro Awani
Februari 23, 2013 17:21 MYT
Negeri Sembilan kempunan meraih kemenangan pertama musim ini selepas seri tanpa jaringan bertemu T-Team di laman sendiri.
Keputusan itu menyaksikan skuad Jang kekal di dasar liga, selepas lapan perlawanan.
Berada di kelompok bawahan liga, Negeri Sembilan mahupun T-Team nyata terdesak mencari kemenangan.
Kedua-dua pasukan mempamer aksi seimbang pada babak pertama apabila saling mengasak dan mencipta peluang jaringan.
Nasib nyata tidak menyebelahi tuan rumah apabila dua percubaan mereka terkena tiang gol.
Manakala, pada babak kedua jaringan penyerang import Emanuel De Porras dibatalkan kerana offside.
Kedudukan tanpa jaringan kedua belah pihak kekal hingga tamat perlawanan.
Ia sekaligus menyaksikan Negeri Sembilan mencatat keputusan seri buat kali keempat berturut-turut, musim ini.
Ketua jurulatih T-Team, Peter Butler tetap berpuas hati dengan keputusan seri yang diraih menentang Negeri Sembilan, semalam.
Bagi Butler, anak buahnya telah beraksi baik apabila berjaya mengekang segala asakan lawan bagi menafikan jaringan.
“Kita menguasai permainan malam ini, kalau dilihat dari segi pemain kita mempunyai banyak pemain muda yang menunjukkan prestasi yang baik” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, rakan sejawat Butler, Divaldo Alves menyifatkan nasib sekali lagi tidak memihak pasukannya kali ini.
“Banyak peluang yang datang, mungkin bukan tuah kita di situ. Namun pasukan masih perlu bekerja kuat” ujar Alves bila diminta untuk mengulas tentang perlawanan kali ini.
Keputusan seri itu menyaksikan Negeri Sembilan dan T-Team kekal menghuni kelompok bawahan liga.
Perlawanan seterusnya buat Negeri Sembilan adalah bertemu Pos Malaysia, manakala T-Team berdepan Sime Darby.
#Divaldo Alves #Negeri Sembilan #Peter Butler #T-Team
;