Negeri Sembilan hasrat naik taraf Stadium Paroi, tingkat kualiti sukan

Bernama
Julai 29, 2024 21:40 MYT
Mustapha berkata perkara itu, akan dibawa untuk perbincangan dalam peruntukan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan tidak lama lagi. - Gambar fail/Wikipedia
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat menaik taraf beberapa kemudahan sukan termasuk Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini pada tahun hadapan bagi meningkatkan kualiti sukan selain bagi penganjuran sukan berskala besar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mustapha Nagoor berkata perkara itu, akan dibawa untuk perbincangan dalam peruntukan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
"Kita kena buat sesuatu sebab stadium ini dah lebih 30 tahun, mahu tak mahu kita kena cari dana sikit demi sikit, kita pun nak jadi tuan rumah untuk Sukan Malaysia (Sukma), sampai bila, kita kena bersedia dari sekarang, jadi dalam tempoh 10 tahun kita dah bersedia jadi tuan rumah.
"Kita memang cari dana dan penaja untuk baik pulih stadium ini, ia perlukan sentuhan, kita dah mula touch up untuk cantikkan tempat ini, nak ada galeri paparkan tokoh bola sepak Negeri Sembilan untuk tatapan generasi akan datang, selain baik pulih beberapa fasiliti di sini," katanya kepada pemberita hari ini.
Mustapha yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan berharap kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah dana untuk membaik pulih stadium berkenaan, serta beberapa kemudahan sukan lain termasuk pusat akuatik yang menjadi antara mercu tanda negeri.
Beliau berkata proses menaik taraf sistem perparitan stadium berkenaan diterima menerusi geran berjumlah RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dijangka disiapkan awal bulan hadapan.
Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) dengan Jant Marketing Sdn Bhd (Jantzen), sebagai rakan air minuman rasmi kelab itu musim ini.
NSFC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Faliq Firdaus Muhammad Rom manakala Jantzen diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Calvin Yee Jong Hoe.
Faliq Firdaus berkata kerjasama bersama Jantzen itu menyaksikan skuad utama NSFC serta pasukan bawah 23, 20 dan 18 tahun akan menggunakan produk minuman tersebut untuk kekal hidrat, semasa latihan dan perlawanan.
-- BERNAMA
#Stadium Paroi #skuad utama #NSFC #memorandum perjanjian
;