'Negara sasar 22 atlet ke Olimpik Rio 2016' - KJ
Wan Syamsul Amly
April 5, 2016 16:44 MYT
April 5, 2016 16:44 MYT
Kerajaan mensasarkan seramai 22 atlet melalui Program Podium layak ke Sukan Olimpik Rio tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ia melibatkan sukan renang, basikal, perahu layar serta sasaran beberapa lagi acara dalam proses kelayakan.
Jelasnya, kementeriannya kini memfokuskan kepada meningkatkan bilangan atlet yang layak ke Olimpik selain sasaran utama pada Olimpik Jepun 2020.
"Persiapan rapi sedang dibuat oleh Institut Sukan Negara (ISN) dari aspek sains dan perubatan sukan dalam menyiapkan atlet ke Olimpik Rio.
"Bagaimanapun kita tidak mensasarkan bilangan pingat, sasaran utama adalah memastikan peningkatan bilangan atlet yang layak sekurang-kurangnya seramai 22 atlet melalui Program Podium," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jerlun (BN), Datuk Othman Aziz.
Othman bertanya persiapan negara untuk penyertaan Sukan Olimpik Rio selain Program Podium dalam menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Jepun.
Program Podium dilancarkan pada Februari lepas untuk meningkatkan bilangan atlet yang layak ke Olimpik.
Bagaimanapun, Khairy menjelaskan, ukuran lebih tepat dari aspek keberkesanan ialah pada Sukan Olimpik Jepun pada 2020.
"Program Podium member penekanan kepada pengurusan latihan yang lebih profesional, khidmat sokongan yang lebih komprehensif, penjagaan hal ehwal dan kebajikan atlet yang lebih rapi berdasarkan penanda aras bertaraf dunia.
"Kementerian turut memberi penekanan kepada usaha memperkasakan pemegang taruh sukan yang lain termasuk persatuan sukan yang merupakan rakan kongsi utama dalam usaha menghasilkan lebih ramai atlet bertaraf dunia," katanya.
Setakat ini, 12 atlet negara disahkan layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.
Antaranya, perenang Pandelela Rinong, Wendy Ng, Ooi Tze Liang dan Khairul Anuar Mohamad bagi acara memanah.