Negara berbangga pencapaian Mohamad Ridzuan, Muhammad Ziyad - PM
Bernama
September 11, 2016 14:13 MYT
September 11, 2016 14:13 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada dua atlet olahraga paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhamad Ziyad Zolkefli yang menyumbang pingat emas pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, pada Sabtu.
Perdana menteri berkata kejayaan gemilang di bumi Brazil yang dilakar dua atlet istimewa itu, dengan mencipta rekod dunia dan rekod paralimpik, membuatkan negara begitu bangga.
"Hari bersejarah untuk Malaysia. 'Negaraku' berkumandang buat pertama kali di #Rio2016. Kita bawa pulang bukan satu, tetapi dua emas! #Paralympics.
"Syabas Ridzuan Puzi dan @yardzolkefli yang turut catat rekod dunia. Seluruh negara berbangga dengan pencapaian anda! #Paralympics #KamiLuarBiasa," katanya menerusi laman Twitternya hari ini.
"Tahniah Ridzuan Puzi & Ziyad! Hadiahkan pingat emas buat Malaysia di Sukan Paralimpik #Rio2016 . Kami bangga," katanya dalam laman Twitternya.
Pingat emas pertama negara diperoleh menerusi pelari pecut Mohamad Ridzuan dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).
Dalam acara yang berlangsung di Stadium Olimpik itu, Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008.
Kejayaan Mohamad Ridzuan, 28, kemudiannya disusuli Muhammad Ziyad melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran).
Lebih manis, pemenang pingat gangsa pada edisi ke-14 di London itu mencipta rekod baharu dunia dalam percubaan pertamanya dengan jarak 16.40m, sekali gus memadam rekod dunia dan rekod Paralimpik milik Todd Hodgetts dari Australia iaitu 16.29m juga di London.
Atlet berusia 26 tahun itu meneruskan rentak kecemerlangan dan terus memperbaiki rekod dunia dengan jarak 16.84m pada percubaan kelimanya. - BERNAMA