NCAA larang wanita transgender sertai acara sukan sehari selepas perintah eksekutif Trump
Agensi
Februari 7, 2025 08:45 MYT
Februari 7, 2025 08:45 MYT
WASHINGTON: Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) mengumumkan larangan terhadap wanita transgender daripada menyertai acara sukan yang kompetitif, hanya sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS),
Donald Trump menandatangani perintah eksekutif berkaitan isu tersebut.
Keputusan ini mencetuskan perdebatan hangat di seluruh Amerika, dengan pelbagai pihak menyuarakan pandangan berbeza mengenai kesaksamaan gender dan hak atlet transgender.
"Seorang atlet pelajar yang ditetapkan sebagai lelaki semasa lahir tidak dibenarkan bertanding dalam pasukan wanita.
"Keputusan ini dibuat untuk memastikan keadilan kompetitif dalam sukan, selaras dengan dasar kami yang mengutamakan integriti pertandingan," kata jurucakap badan induk sukan kolej di Amerika itu.
Penentuan jantina kini berdasarkan apa yang ditetapkan oleh doktor semasa kelahiran dan dicatat dalam sijil kelahiran.
Sebelum ini, NCAA membenarkan wanita transgender bertanding selagi mereka mematuhi had tahap testosteron yang ditetapkan bagi setiap sukan.
Perintah eksekutif Trump yang ditandatangani sehari sebelum ini menetapkan garis panduan baharu mengenai penyertaan atlet berdasarkan jantina biologikal, yang menjadi rujukan utama NCAA dalam membuat keputusan tersebut.
Sementara itu, aktivis hak transgender mengutuk tindakan ini sebagai bentuk diskriminasi, manakala sebahagian atlet dan jurulatih menyokong larangan tersebut atas alasan kesaksamaan fizikal dalam sukan.
Isu ini dijangka terus menjadi topik hangat dalam arena politik dan sukan, dengan kemungkinan mencetuskan cabaran undang-undang di masa hadapan. - Agensi