Nazmi ikrar bantu Selangor julang piala
Astro Arena
Julai 23, 2015 13:15 MYT
Julai 23, 2015 13:15 MYT
Pemain tengah skuad Red Giants, Nazmi Faiz Mansor berazam tampil dengan prestasi yang lebih baik sebaik saingan Liga Super bersambung semula pada Ogos.
Nazmi akui tidak berpuas hati dengan aksinya ketika ini terutama selepas gagal bantu Selangor mencatat kemenangan penting ketika berdepan Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) pada bulan puasa.
Dua kekalahan tersebut turut merencatkan peluang Selangor untuk berada dalam landasan merebut takhta Liga Super.
Pemain yang baru berusia 20 tahun ini tekad mahu menjulang piala bersama skuad Red Giants sejak menyertainya tahun lalu.
"Saya memang tidak berpuas hati dengan persembahan saya dan tiada alasan selain dari beri segala yang saya ada untuk baki 8 perlawanan seterusnya.
Saya ingin menjulang piala bersama Selangor," katanya dengan penuh keazaman.
Disamping itu, skuad kendalian Mehmet Durakovic telah diberi rehat selama seminggu bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga sebelum kembali menjalani latihan pada 27 Julai nanti.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menjadi lawan Red Giants 4 hari kemudian.
Nazmi turut menegaskan tiada sebarang masalah yang melanda skuad Selangor ketika ini.
"Tiada masalah diluar atau diatas padang, cumanya ketika ini kami tidak berikan 100 peratus atas padang," akuinya.