Nauraj Singh melabur duit poket RM50,000 demi kejayaan di Eropah
Astro Arena
Jun 22, 2021 07:07 MYT
Jun 22, 2021 07:07 MYT
JAGUH lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, terpaksa mengeluarkan kos sendiri mencecah RM50,000 sejak Oktober tahun lalu untuk berlatih dan menyertai kejohanan di Eropah.
Nauraj mengakui terpaksa mengikat perut tetapi itu tidak menghalangnya untuk meraih gelaran di Hungary dan Republik Czech sejak dua minggu lalu.
Sehubungan itu, dia memohon kejayaannya dipertimbangkan pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahupun Majlis Sukan Negara (MSN).
"Berdasarkan pengalaman saya, ia (dua kejuaraan ini) melayakkan saya untuk menerima imbuhan.
"Saya sudah pun menghantar kertas cadangan, ia satu keperluan untuk membuktikan latihan dan dengan siapa saya berlatih.
"Saya faham MSN sangat sibuk kerana perlu mengendalikan semua sukan, bukan olahraga sahaja jadi mereka akan buat yang terbaik," katanya dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, pada Selasa.
Tambahnya lagi: "Saya tidak tahu jumlah sebenarnya tetapi kira-kira €10,000 sejak Januari hingga April lalu.
"Saya tidak pernah melalui tempoh enam bulan tanpa pendapatan sedangkan ada masanya saya memerlukan urutan untuk melegakan kelesuan fizikal.
"Tapi saya terpaksa melupakan semua ini.
"Saya hanya mampu berusaha di bahagian saya dan selebihnya adalah di luar kawalan."
Pemegang rekod kebangsaan itu memilih untuk berkelana ke Jerman untuk cabaran lebih tinggi selain berada di samping isterinya di sana.
"Saya lega kerana saya mendapat sokongan sebagai tentera laut, isteri yang bekerja untuk menampung apa yang termampu sebagai sokongan.
"Saya juga meminjam daripada bapa mentua dan keluarga sendiri seberapa banyak yang boleh."
#lompat tinggi
#Nauraj Singh Randhawa
#pinjam wang
#kos tinggi
#Hungary
#Republik Czech
#Kesatuan Olahraga Malaysia
#kom
#Majlis Sukan Negara
#imbuhan
#ikat perut
#duit poket
#eropah
#Jerman