Nasser kekal rentak cemerlang Rali Dakar 2013
Astro Awani
Januari 9, 2013 14:19 MYT
Januari 9, 2013 14:19 MYT
Nasser Al-Attiyah mengekalkan rentak cemerlang apabila menjuarai peringkat keempat dari Nazca ke Arequipa dalam persaingan di Rali Dakar 2013.
Kedudukan keseluruhan saingan kereta itu bagaimanapun masih kekal menjadi milik pelumba Perancis, Stephane Peterhansel.
Perlumbaan sejauh 289 kilometer ini menyaksikan Nasser menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan tiga jam, 28 minit dan 36 saat.
Sementara Peterhansel menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan satu minit, 17 saat di belakang Nasser.
Keputusan itu juga menyaksikan pendahuluan Peterhansel dalam kedudukan keseluruhan berkurang kepada lima minit dan 16 saat.
Manakala malang buat Robby Gordon apabila jenteranya terbalik di pertengahan perlumbaan.
Dalam saingan motosikal, Joan Barreda Bort muncul juara.
Dia menamatkan saingan dengan merekodkan tiga jam, 41 minit dan sembilan saat mengatasi pelumba Yamaha, Olivier Pain.
Sementara Cyril Depres gagal mengekalkan teraju pendahulu keseluruhan selepas menduduki tempat ketiga dan kini ketinggalan 17 minit, 35 saat di belakang Bort.