Nasib Selangor beraksi di Stadium Shah Alam diketahui Julai ini

Bernama
Jun 28, 2018 08:26 MYT
Amirudin tidak menolak kemungkinan Selangor dan PKNS FC bakal berkongsi Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah dalam saingan Liga Super. - Gambar hiasan
Keputusan sama ada skuad the Red Giants akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam akan diketahui awal bulan depan.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata beliau sangat optimis impian penyokong pasukan bola sepak Selangor itu akan menjadi kenyataan selepas mengadakan beberapa pertemuan dengan bakal Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan wakil baginda.
"Saya rasa menjelang Julai kita boleh umumkan beberapa perkara berkenaan FAS, kerajaan negeri dan bola sepak kerana ketika ini saya sedang menunggu beberapa perkembangan.
"Saya sangat optimis awal Julai (pengumuman untuk bermain di Stadium Shah Alam) jika tiada perkara sangat besar berlaku," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Raikan Lebaran 2018 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, pada Rabu.
Amirudin juga tidak menolak kemungkinan Selangor dan PKNS FC bakal berkongsi Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah dalam saingan Liga Super, namun ia bergantung kepada keadaan dan kualiti padang.
"Tiada masalah (Selangor dan PKNS FC berkongsi gelanggang), sebelum ini pun mereka bermain di tempat sama, cuma saya sedang pastikan padang itu dapat digunakan dengan pasukan tertentu.
"Kalau banyak sangat pasukan bermain di atas satu padang mungkin akan beri kesan kepada keadaan dan kualiti padang," katanya.
The Red Giants sebelum ini terpaksa bermain di gelanggang lain berikutan kemelut yang berlaku antara pengurusan FAS dan kerajaan negeri Selangor.
Bagaimanapun, harapan penyokong juara Piala Malaysia 33 kali itu untuk melihat pasukan kesayangan mereka kembali beraksi di Stadium Shah Alam kembali cerah selepas Tengku Amir Shah pada 5 Jun lepas, mengesahkan bahawa baginda menerima tawaran untuk menyandang jawatan sebagai Presiden FAS yang baharu.
Tengku Amir Shah yang juga Penaung Diraja FAS, bakal menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang secara rasmi melepaskan jawatan itu pada 3 Julai ini.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #bola sepak #FAS #kerajaan negeri #kongsi gelanggang #Liga Super #Menteri Besar #Padang #Persatuan Bola Sepak Selangor #PKNS FC #Red Giants #Selangor #shah alam #stadium shah alam #tengku amir shah
;