Nasib Misbun bakal diketahui minggu depan
Bernama
Julai 15, 2023 07:12 MYT
Julai 15, 2023 07:12 MYT
KUALA LUMPUR: Masa depan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek bakal ditentukan minggu depan susulan prestasi mengecewakan anak buahnya pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Bukan sahaja Misbun, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata nasib barisan kejurulatihan skuad remaja negara juga bakal diputuskan jawatankuasa khas yang ditubuhkan semalam bagi menilai program latihan pemain muda selepas pulang dari Indonesia dengan tangan kosong.
Katanya, jawatankuasa khas diketuai Timbalan Presiden BAM Datuk V Subramaniam dan dibantu Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh itu juga akan mengambil kira pandangan panel penasihat teknikal di BAM yang terdiri daripada tujuh bekas pemain badminton kebangsaan termasuk legenda negara Datuk Lee Chong Wei dan tujuh eksekutif sukan dalam usaha menambah baik sistem latihan skuad remaja.
"Tunggu minggu depan, secara umumnya ahli majlis BAM tidak puas hati dengan prestasi pemain di Kejohanan Badminton Remaja Asia baru-baru ini, itu yang boleh saya katakan sekarang," katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis BAM di sini, semalam.
Skuad remaja negara menampilkan persembahan hambar di Yogyakarta apabila mereka tumpas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran manakala tiada seorang pun wakil layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat adalah pada 2018 menerusi beregu wanita remaja ketika itu Pearly Tan-Toh Ee Wei yang meraih perak, selain membantu skuad negara ketika itu memperoleh gangsa bagi acara berpasukan campuran.
Oktober lepas, Malaysia gagal ke suku akhir pada Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dan menamatkan acara berpasukan campuran di tangga kesembilan menumpaskan Denmark, 4-1.
Lebih menyedihkan apabila buat pertama kali, tiada pemain kebangsaan yang layak ke suku akhir bagi saingan perseorangan di Sepanyol.
Katanya, ahli majlis juga amat sedih dengan perkembangan terkini melanda skuad remaja negara yang dilihat agak ketinggalan dengan kuasa besar lain dalam sukan itu.
Walaupun ranking pemain negara agak tinggi, namun Mohamad Norza berkata mereka berdepan masalah ketika berdepan pemain dari negara kuasa besar lain terutamanya dari segi intensiti dan kekuatan mental.
"Dengan kemudahan diberikan di ABM termasuk... bertaraf empat bintang namun (pemain) tidak diterjemahkan kepada prestasi lima bintang," katanya.
-- BERNAMA