Nasib Hafizh dalam MotoGP akan diketahui tidak lama lagi
Bernama
Februari 18, 2018 06:15 MYT
Februari 18, 2018 06:15 MYT
Nasib pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk beraksi dalam kejuaraan MotoGP Dunia musim ini bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3 akan diketahui dalam masa terdekat.
Menurut ketua pasukan Tech 3. Herve Poncharai, keputusan masa depan pelumba kelahiran Selangor itu bersama pasukan berpangkalan di Perancis itu akan dibuat dalam masa terdekat.
"Saya tahu semua orang mengharapkan keputusan mengenai Hafizh Syahrin.
"Apa yang saya boleh katakan sekarang ialah beliau melakukan kerja yang hebat semasa ujian ini, menunjukkan motivasi yang tinggi, bersedia untuk belajar dan kepantasan dalam trek yang bagus dalam suasana yang sangat baik bersama pasukan," katanya kepada pemberita selepas ujian pramusim MotoGP di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, pada Ahad.
Beliau berkata pasukan itu perlu berkongsi semua butiran dengan semua rakan kongsinya sebelum mengambil keputusan sama ada akan menawarkan tempat secara tetap kepada Hafizh bersama pasukan itu musim ini.
Pelumba berusia 23 tahun itu, yang berlumba empat musim dalam saingan Moto2, merupakan pelumba negara pertama diberi peluang mengikuti ujian pramusim kedua pasukan itu di Litar Buriram bersama pelumba tetap pasukan, Johann Zarco, bekas juara Moto2 2016.
Pada ujian pertama di Litar Antabangsa Sepang (SIC), minggu lepas, pasukan itu menggunakan khidmat pelumba World Superbike (WorldSBK), Yonny Hernandez dari Colombia sebagai pelumba ganti kepada Jonas Folger dari Jerman yang menarik diri dalam saingan musim ini.
Ujian musim sejuk selama tiga hari di Buriram, kira-kira 312km dari sini, bermula Jumaat lepas dan berakhir pada Ahad. Thailand akan menjadi hos perlumbaan pusingan ke-15 MotoGP Dunia buat julung kali di litar berkenaan pada 7 Okt ini.
Sementara itu, Hafizh berkata beliau sangat gembira dengan persembahannya pada hari terakhir sesi ujian itu dengan merakamkan masa terpantas 1 minit 31.537 saat semasa 47 pusingan yang meletakkan kedudukannya di tangga ke-21 terpantas.
"Saya pasti boleh melakukan catatan masa yang lebih baik lagi. Secara keseluruhan, saya gembira dan berharap dapat bersama pasukan ini dapat masa terdekat," katanya pelumba yang terkenal dengan julukan Pescao.
Pelumba pasukan Repsol Honda, Dani Pedrosa mencatatkan pusingan terpantas pada hari terkahir dengan masa 1'29.781s diikuti dengan Zarco dengan masa 1'29.867s.
Sesi terakhir pramusim akan diadakan di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada1 Mac sebelum MotoGP musim 2018 membuka tirai di litar itu pada 18 Mac ini. -- Bernama