Nasib baik saya ambil sepakan itu - Tae-su

Astro Arena
September 28, 2021 06:10 MYT
Tae-Su berharap jaringan sensasinya itu dapat disenaraikan dalam Anugerah Puskas bagi mengulangi pencapaian yang dilakukan Faiz Subri pada 2016. - Foto Astro ARENA
PEMAIN import Sabah FC, Park Tae-su, berkata dia bernasib baik kerana diberikan peluang mengambil sepakan percuma bersejarahnya ketika menentang Petaling Jaya City FC pada Isnin sambil tidak berselindung di sebalik keinginannya untuk melihat jaringan gemilang itu bersaing dalam Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Aksi Kumpulan D, Piala Malaysia di Petaling Jaya pada Isnin menyaksikan Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee terikat 1-1 dengan PJ City, di mana Tae-su meledakkan gol sepakan percuma dari jarak 40 ela sebelum Darren Lok menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-80.
Gol gemilang pemain import dari Korea Selatan itu mencuri perhatian dunia sehingga ia turut dikongsikan FIFA dalam satu ciapan Twitter.
Tae-su, dengan jujurnya, berkata dia bernasib baik dapat mengambil sepakan penalti itu meskipun diragui dan tidak dibenarkan rakan sepasukannya.
Dalam satu temu bual Nadi Arena, dia berkata: "Saya berbincang dengan Levy (Madinda) untuk mengambil sepakan itu, dia berkata 'Oppa jangan, ia terlalu jauh' dan dia mahu mengambilnya tetapi N. Thanabalan meyakinkan saya untuk mengambil sepakan itu, jadi nasib baik.
"Sebelum menendang bola itu, saya fikir mahu melakukan sepakan 'knuckle' (lencong) tetapi ia terlalu jauh, jadi saya hanya menendang sekuat hati dan ia masuk ke gawang, itu sahaja."
BACA: Gol cantik Tae-su mampu bakar motivasi pasukan - Faiz Subri

Take a bow, Park Tae-su! There's nothing like a 40-yard rocket hitting the crossbar on its way into the net One for the @SabahFCofficial history books pic.twitter.com/y9P3022AKO

— FIFA.com (@FIFAcom) September 28, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tae-Su turut berharap jaringan sensasinya itu dapat disenaraikan dalam Anugerah Puskas bagi mengulangi pencapaian yang dilakukan Faiz Subri pada 2016.
"Selepas perlawanan itu, ada rakan yang berseloroh bahawa jaringan itu boleh tersenarai dalam Anugerah Puskas tetapi apabila saya bangun pagi tadi, rakan-rakan dan pihak pengurusan memaklumkan kepada saya bahawa jaringan itu telah dikongsikan dalam ciapan FIFA.
"Kalau boleh saya mahu jaringan itu ke Anugerah Puskas kerana saya mahu mengetahui sama ada ia mampu atau tidak.
"Saya sangat gembira kerana ia baik untuk saya dan pasukan Sabah," katanya lagi.
#Park Tae-su #pemain import Sabah FC #sepakan percuma bersejarah #FIFA #Anugerah Puskas
;