Naomi Osaka juara Terbuka Australia 2021
Syafik Shukri Jalil
Februari 20, 2021 18:09 MYT
Februari 20, 2021 18:09 MYT
Pemain nombor tiga dunia, Naomi Osaka meraih trofi Grand Slam keempat miliknya selepas berjaya menewaskan Jennifer Brady menerusi final tenis Terbuka Australia 2021.
Jaguh muda berusia 23 tahun itu menang straight set 6-4 dan 6-3 ke atas Brady yang pertama kali mara ke pentas akhir Grand Slam menerusi aksi yang berlangsung di Rod Laver Arena pada Sabtu.
Menerusi set pertama yang berlangsung selama 41 minit, Brady berjaya memberikan saingan kepada Osaka namun kemaraan juara kejohanan pada 2019 itu nyata tidak mampu dihalang.
Pada set kedua, Brady yang berada di kedudukan 22 dunia itu mula mempamerkan aksi hambar sehingga membolehkan Osaka mendominasi aksi dengan 4-0.
Tidak menyerah kalah, bintang Amerika Syarikat berusia 25 tahun itu cuba bangkit semula untuk mendominasi set seterusnya mengheret aksi ke pusingan penentuan.
Namun percubaannya gagal dan Osaka berjaya menguasai aksi sehingga ke tamat perlawanan dengan 6-3.
“Aksi sebentar tadi sangat mencabar apabila bermain dengan pemain yang hebat dan konsisten seperti Brady, tahniah.
“Kita pernah beraksi bersama sebelum ini dan saya sudah memaklumkan kepada pasukan saya bahawa anda bakal menjadi saingan utama untuk aksi ini dan ia terbukti sebentar tadi.
“Saya berharap kita akan beraksi dengan lebih kerap di masa akan datang dan saya menantikan saat itu,” kata Osaka.
Osaka sebelum itu mara ke final selepas menundukkan legenda tenis dunia, Serena Williams, dengan kemenangan straight set 6-3 dan 6-4.
Serena yang merupakan pemain pilihan penonton ketika itu bagaimanapun gagal mempamerkan aksi cemerlang seperti yang dilakukannya semasa menentang Simona Halep di pusingan suku akhir.
Manakala Brady mara selepas menewaskan jaguh di kedudukan ke-25 dunia, Karolina Muchova dari Republik Czech dengan 6-4, 3-6 dan 6-4.