'Nampaknya formula anda berkesan' - TMJ
Sinar Harian
Disember 4, 2023 17:05 MYT
Disember 4, 2023 17:05 MYT
KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil kembali menimbulkan tanda tanya menjelang final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC, Jumaat ini.
Ia selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar terkini keadaan padang Stadium Nasional yang masih dalam proses baik pulih selepas rosak angkara konsert kumpulan Coldplay, baru-baru ini.
Kelihatan padang tersebut sedang ditanam rumput baharu dengan beberapa bahagian masih 'botak' mengundang tanda tanya sama ada ia benar-benar bersedia untuk aksi final yang akan berlangsung empat hari lagi.
Untuk rekod, rumput jenis Zeon Zoysia tersebut memerlukan masa untuk tumbuh dengan baik selepas ditanam.
Tunku Ismail dalam hantaran tersebut turut menulis kapsyen yang turut memetik nama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac.
"Standard yang baik untuk perlawanan akhir Piala Malaysia. Nampaknya formula anda berkesan," kata Tunku Ismail kepada Hans di laman Instagram miliknya.
Sebelum ini, rumput SNBJ ditukar daripada rumput Cow Grass kepada Zeon Zoysia apabila Tunku Ismail menjadi pencetus dan penaja utama kepada penukaran rumput itu.
Rumput tersebut digunakan buat pertama kali ketika perlawanan Pestabola Merdeka antara Harimau Malaya dan India yang menyaksikan padang itu mendapat kritikan selepas rosak teruk akibat keadaan rumput yang belum matang.
Ia bertambah baik ketika aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan D.
Bagaimanapun, keadaan padang itu sekali lagi mengundang kemarahan orang ramai apabila konsert Coldplay yang berlangsung baru-baru ini menyebabkan keadaan rumput itu kembali rosak. - Sinar Harian