Nama Perak FA akan ditukar menjadi Perak FC
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 5, 2020 16:11 MYT
Oktober 5, 2020 16:11 MYT
IPOH: Penyokong Perak tidak perlu bimbang mengenai penjenamaan pasukan semasa proses penswastaan pasukan bola sepak kerana akan bertukar menjadi Perak FC.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Adly Shah Ahmad berkata, pihaknya kini dalam proses untuk menukar nama itu dari Bos Gaurus FC kepada Perak FC.
Menurutnya, penggunaan nama Perak FC memerlukan kelulusan daripada kerajaan negeri.
“Oleh kerana hendak cepat kita bubuh nama lain dahulu. Insya Allah permohonan (tukar kepada Perak FC) akan diluluskan dalam tempoh terdekat," katanya selepas menerima memorandum dari Kelab Gabungan TBG MOBS di sini, hari ini.
Dalam memorandum itu, TBG MOBS merayu kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) supaya menggunakan nama Perak FC dalam proses penswastaannya.
Memorandum itu diserahkan oleh Timbalan Presiden TBG MOBS, Noor Azli Salleh dan ahli jawatankuasa Persatuan itu Mohd Jefri Amin di pejabat PAFA.
TBG MOBS meminta PAFA menggunakan nama Perak FC dan bukan nama lain berikutan desas-desus Perak akan bergelar Bos Gaurus FC.
Sebelum itu Presiden TBG MOBS , Syamsul Baharin Ahmad Shibi berkata penyokong berasa janggal jika tiada perkataan 'Perak' pada pasukan yang diswastakan itu nanti.
"Janggal jika tiada nama Perak nanti. Setakat ini, kami tidak pasti apa nama digunakan tetapi yang kami dengar Bos Gaurus FC.
"Kami tidak mahu nama pasukan itu dipersendakan jika menggunakan akronim TBG nanti,” ujarnya.