Nama Liga-M, Selangor FC 'hangat' selepas Jordan ke final Piala Asia 2023

Bernama
Februari 7, 2024 18:15 MYT
Empat pemain Jordan yang sedang dan pernah beraksi di Liga Super iaitu Noor Al-Rawabdeh yang merupakan pemain Selangor, Fadi Awad (PDRM FC), Yazan Al-Arab (bekas pemain Selangor) dan Mahmoud Al-Mardi (bekas pemain Kedah Darul Aman FC). - Gambar fail
DOHA: Liga Malaysia (Liga-M) dan Selangor FC menjadi sebutan, apabila Jordan mencipta sejarah layak ke final Piala Asia selepas menyingkirkan juara dua kali Korea Selatan 2-0, pada perlawanan separuh akhir di Stadium Ahmad Bin Ali di Al Rayyan, malam tadi.
Ia susulan empat pemain Jordan yang sedang dan pernah beraksi di Liga Super iaitu Noor Al-Rawabdeh yang merupakan pemain Selangor, Fadi Awad (PDRM FC), Yazan Al-Arab (bekas pemain Selangor) dan Mahmoud Al-Mardi (bekas pemain Kedah Darul Aman FC).
Al-Rawabdeh, Al-Arab dan Al-Mardi, masing-masing diturunkan semalam dan beraksi cemerlang ketika berdepan nama-nama yang bermain di Eropah, antaranya bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min, Lee Kang-in (Paris Saint-Germain) dan Hwang Hee-chan (Wolverhampton Wanderers).
Manakala Awad memanaskan bangku simpanan dan tidak diturunkan pada perlawanan itu.
Pada aksi semalam, dua jaringan Jordan hadir pada separuh masa kedua, dengan Yazan Al-Naimat meletakkan pasukan di depan, sebelum gol Mousa Al-Tamari melengkapkan malam gemilang skuad bimbingan Hussein Ammouta, sekali gus membawa The Chivalrous ke final buat kali pertama.
Kekalahan itu menyaksikan Taegeuk Warriors bimbingan Jurgen Klinsmann, gagal dalam misi menamatkan penantian 64 tahun memenangi gelaran ketiga.
Di media sosial, rata-rata peminat bola sepak tanah air menyertai peminat global terutama di rantau ini, yang kagum dengan semangat juang tinggi barisan pemain Jordan antaranya Al-Arab, selepas mempamerkan karakter terpuji dalam merantai pergerakan Son dan rakan-rakannya.
Al-Arab yang kini beraksi bersama kelab Iraq Al Shorta, digantung seumur hidup Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak, serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia.
Ia kerana tindakan bek tengah berusia 28 tahun itu yang dilihat menyepak pengadil, susulan tidak berpuas hati kerana dilayangkan kad merah ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, antara Selangor dan Terengganu FC di Stadium MBPJ pada 24 Sept tahun lepas.
Menanti Jordan di final ialah antara juara tiga kali Iran dan juara bertahan Qatar, yang akan membuat perhitungan dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Al Thumama di sini, malam ini.
-- BERNAMA
#Piala Asia #Selangor FC #Jordan #Mahmoud Al-Mardi
;