'Nak saman... saya tunggu'
Sinar Harian
Mac 18, 2022 09:13 MYT
Mac 18, 2022 09:13 MYT
TIMBALAN Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Sulaiman sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk dikenakan saman oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
Malah, beliau yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ) tetap bertegas tidak akan berganjak daripada kenyataan yang dilemparkan kepada ASTAF baru-baru ini.
“Saya dah cakap sebelum ini, maka saya tunggulah kalau (ASTAF) nak saman. Saya tegas dengan apa yang saya katakan dan apa yang saya maksudkan dengan boneka, jadi kena fahamlah.
“Dia (Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader) kena sedar itu bahawa itu adalah fakta. Secara logiknya, kalau hari ini kita (PSM) dah bayar denda, tetapi esoknya keluar surat pula meluluskan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC)
“Saya tak salahkan MSC dalam soal ni, soalnya ASTAF itu sendiri. Kenapa ASTAF tak ikut akta yang ditetapkan mereka sendiri... jadi apa ASTAF nak sebenarnya?” katanya kepada Sukan Sinar pada baru-baru ini.
Pada Jumaat lalu, Abdul Halim dilapor mahu mengambil tindakan susulan kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PSM itu yang disifatkannya sebagai tidak berasas selain berbaur penghinaan.
Antaranya, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Halim yang mendakwa berlaku campur tangan ASTAF dalam kemelut dihadapi PSM selain mengatakan badan induk sepak takraw Asia itu ditadbir secara one man show.
Dalam pada itu, Abdul Halim yang dipilih berada saf kepimpinan baharu PSM bagi penggal 2022 hingga 2025 turut mempersoalkan mengenai penubuhan MSC yang didakwanya melalui proses tidak sah.
“Secara logiknya, di sana (MSC) adalah minoriti dan kita di sini (PSM) merupakan majoriti. Selain itu, annual report, audit report belum buat, belum cukup justifikasi, jadi macam mana boleh diluluskan?
“Pada saya tak betullah macam itu. Bila berlaku macam ini seolah-olah macam kami berperang sesama sendiri. Ikutkan kami (PSM) sudah ikut peraturan dan hak yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Artikel asal di Sinar Harian