Najwa pemain bola jaring pertama berkelana ke luar negara

Bernama
Februari 8, 2018 22:37 MYT
An Najwa dikenali sebagai pakar strategi hebat dalam pasukan bola jaring negara. - Gambar fail
PEMAIN bola jaring, An Najwa Azizan bakal menjadi pemain Malaysia pertama berkelana ke luar negara apabila aksinya ditagih sebuah kelab di Australia.
Kelab Bola Jaring GWS Fury yang berpangkalan di New South Wales, Sydney, bakal menjadi destinasi Najwa apabila Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) bersetuju melepaskan beliau beraksi dalam Liga Perdana Samsung 2018 yang dijangka bermula Julai hingga September ini.
Najwa yang ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi sukan Bola Jaring di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, mengakui teruja untuk beraksi di sana dan menyifatkan ia seperti impian menjadi kenyataan.
"Ia bakal menjadi satu pengalaman berharga buat saya dan sudah menjadi impian saya untuk beraksi bersama kelab di liga Australia.
"Walaupun saya akan beraksi di liga kedua iaitu liga amatur, bagi saya ia pencapaian yang cukup besar kerana semua tahu Australia merupakan pasukan berada di ranking pertama dunia dan mempunyai standard yang jauh lebih baik daripada kita," katanya.
BACA: Bola jaring: Siapa gerangan An Najwa, 'si cantik pemusnah' pasukan lawan
Mengulas lanjut, Najwa yang akan berangkat ke Australia Sabtu ini, berkata dengan penyertaannya beraksi di luar negara, beliau berharap akan menjadi batu loncatan untuk generasi baharu bola jaring kebangsaan untuk melangkah lebih jauh.
"Semoga dengan peluang ini akan menjadi platform buat bakat baharu bola jaring negara yang mempunyai cita-cita beraksi di luar negara dan menaikkan nama negara," katanya yang akan menangguhkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyahut tawaran berkenaan.
Untuk rekod, Najwa berjaya membantu skuad bola jaring negara mengakhiri penantian 16 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dan beliau juga merupakan Pemain Paling Bernilai (MVP) Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Bangkok.
Berkongsi pandangan sama ialah Presiden PBJM Datuk Suraya Yaacob yang menyifatkan pemergian Najwa ke Australia akan membuka lembaran baharu buat arena bola jaring kebangsaan.
"Saya percaya ia akan membuka ruang lebih besar kepada kelab-kelab di liga Australia untuk mula melihat bakat pemain Malaysia, seterusnya akan menawarkan kontrak kepada mereka," katanya.
Suraya berkata pada masa sama, pihak persatuan juga sedang membuat persediaan bagi menghadapi Kejohanan Asia di Singapura, September depan.
"Misi kita pada kejohanan itu adalah untuk mempertahankan kejuaraan dan sebagai pasukan nombor satu di Asia. Kejohanan berkenaan juga merupakan pusingan kelayakan ke Kejohanan Dunia di Liverpool, England pada 2019," katanya.
-- BERNAMA
#An Najwa Azizan #atlet negara #Australia #kelab #Malaysia #pemain bola jaring #sukan
;