Datuk Seri Najib Tun Razak memuji dan menghargai sokongan peminat Malaysia yang terus membanjiri Litar Sepang bagi menyaksikan perlumbaan MotoGP Dunia pada edisi ke-26 Grand Prix Malaysia tahun ini.

Perdana Menteri berkata acara tersebut tidak akan mencapai tahap kejayaan seperti yang dinikmati pada masa ini tanpa semangat dan minat peminat sukan permotoran negara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semula peminat MotoGP dari jauh dan dekat yang datang untuk menyokong pelumba kesayangan mereka.

"Selain itu, peminat juga tidak pernah gagal untuk menggalak rakan dan ahli keluarga datang ke litar untuk menyokong pelumba pilihan mereka secara langsung," menurutnya dalam kata-kata aluannya pada buku cenderamata MotoGP Malaysia 2016.

Sukan sebagai penyatu sejagat, katanya, beliau turut tidak sabar untuk melihat peminat sukan permotoran negara berkunjung dengan satu suara bagi menyokong pelumba bakat tempatan.

Najib berkata perlumbaan tahun ini adalah menarik untuk rakyat Malaysia.

"Bagi peminat tempatan, harapan untuk melihat seorang rakyat Malaysia di podium tahun ini adalah tinggi," katanya sambil merujuk kepada bakat tempatan seperti Khairul Idham Pawi dan Hafizh Syahrin Abdullah.

Menurutnya, pengenalan pelumba-pelumba tempatan sejak tahun-tahun kebelakangan ini, telah mendorong kepada peningkatan jumlah penonton dari tahun 2010 hingga 2015.

Jumlah penonton bertambah dari 105,000 kepada 150,000, iaitu peningkatan 42 peratus dengan pertambahan 15 peratus antara tahun 2014 dan 2015, katanya.

"Sokongan tempatan adalah penting dalam mana-mana sukan utama dan adalah menjadi petanda baik bahawa MotoGP Malaysia telah mencapai sekurang-kurangya 70 peratus kehadiran penonton tempatan dalam tempoh itu," kata perdana menteri.

Katanya sebagai perlumbaan eksklusif untuk rantau ini, MotoGP Malaysia bukan sahaja penting untuk Malaysia malah juga kepada ekosistem sukan itu serta industri motosikal di seluruh Asia Tenggara. -- BERNAMA