Nahas LATAR: Pesalah langgar atlet paralimpik perlu ke muka pengadilan- Azizulhasni

Astro Awani
September 7, 2017 23:36 MYT
Azizul turut memaklumkan, dua atlet yang cedera berada dalam keadaan stabil. - Foto Twitter - @n9futbol
Jaguh Keirin Dunia, Azizulhasni Awang berharap pesalah yang melanggar lari dua daripada lima atlet Paralimpik Malaysia dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur- Selangor Expressway (LATAR) di Kuala Selangor, pagi tadi dihadapkan ke muka pengadilan.
Pada masa sama, beliau berharap kesemua mereka sembuh dari kecederaan yang dialami.
"Takziah di ucapkan kepada atlet Paralimpik yang terlibat dengan kemalangan siang tadi di mana mereka dilanggar ketika sesi latihan di Latar Highway menghala ke Kuala Selangor," katanya melalui laman Instagram miliknya hari ini.
Beliau turut memaklumkan, dua atlet yang cedera berada dalam keadaan stabil.
"Kedua-dua blind rider tidak begitu serius tetapi yang agak serius adalah kedua-dua pilot rider iaitu Shafiq (patah kaki) dan Ridzuan ( kaki dan tulang belakang cedera)," ujar beliau.
Dua atlet para berbasikal antara lima individu terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR) di Kuala Selangor, pagi tadi.
Ketika dihubungi Astro AWANI, pihak LATAR mengesahkan kejadian tersebut kira-kira jam 10.36 pagi tadi.
Pihak LATAR juga berkata bahawa mereka akan memberikan kerjasama yang penuh kepada pihak polis dalam menyalurkan apa jua jenis bantuan yang diperlukan oleh pihak berkuasa dalam membantu siasatan kes kemalangan tersebut.
Dalam perkembangan terkini, pemandu kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai terlibat merempuh empat atlet berbasikal Malaysia termasuk dua atlet Para ASEAN dan ketua jurulatih pagi tadi telah ditahan kira-kira pukul 5.30 petang ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ruslan Abdullah berkata lelaki berumur 46 tahun itu dikesan menerusi satu laporan polis yang dibuatnya pada pukul 3 petang di Balai Polis Kampung Baru Subang.
#atlet paralimpik #Azizulhasni Awang #cedera #Instagram #kemalangan #Kuala Selangor #langgar #Lebuh Raya LATAR #Nahas
;