Nahas kemalangan ragut nyawa bintang Turki

Astro Arena
Januari 12, 2022 14:00 MYT
Kelab itu berkata pengebumian Calik diadakan selepas solat jenazah di Masjid Elmadag Sungur pada Selasa. - Foto Astro ARENA
BEKAS pertahanan Turki dan Galatasaray Ahmet Calik meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada usia 27 tahun.
Berita kematiannya telah diumumkan oleh kelab Super Lig Konyaspor, pasukan yang diwakili Calik musim ini.
Calik menyertai Konyaspor dari Galatasaray pada 2020 dan memakai jersi nombor enam untuk pasukan liga teratas.
Akhbar Hurriyet melaporkan kereta Calik keluar dari sebatang jalan antara Ankara dan Nigde.
Media Turki menyiarkan rakaman sebuah kereta yang dikatakan dipandu oleh Calik, tersadai dalam keadaan remuk di tempat kejadian.
Konyaspor berkata, "Kami sangat sedih dengan kehilangan pemain bola sepak kami Ahmet Calık, yang telah memenangi cinta peminat kami dan bandar kami sejak hari pertama dia datang ke Konyaspor.
"Takziah kepada kita semua, terutamanya kepada keluarga Ahmet Calık."
Kelab itu berkata pengebumian Calik diadakan selepas solat jenazah di Masjid Elmadag Sungur pada Selasa.
Dia telah menandatangani lanjutan kontrak selama tiga tahun pada November, selepas memberi impak positif sejak bersama kelab.
#kemalangan #Turki #bola sepak #Ahmet Calik
;