Nafuzi enggan tekan butang panik, skuad Penyu masih ada peluang raih mata

Bernama
April 3, 2021 10:04 MYT
Pemain Terengganu FC, Jordan Mintah (jersi, putih) diasak oleh dua pemain PJ City FC, Prabakaran Kanadasan pada saingan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain belum mahu menekan butang panik, sebaliknya mahu terus bangkit memburu kemenangan dalam saingan Liga Super yang masih panjang.
Menurut Nafuzi skuad Penyu berada di landasan yang betul dalam misi meraih kejuaraan dan peluang masih terbentang luas untuk pasukannya meraih mata dalam siri perlawanan akan datang.
"Kita gagal capai kemenangan dalam tiga perlawanan dan rugi...hilang tujuh mata.
"Tapi kita masih di landasan yang betul dan boleh bersaing untuk kedudukan teratas (liga) kerana banyak lagi 'game' selepas ini," katanya selepas perlawanan menentang PJ City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu, TFC terikat 0-0 dengan PJ City FC sekali gus menyaksikan kedudukannya jatuh dari tangga kedua ke tangga ketiga Liga Super.
Sementara itu Ketua Jurulatih PJ City FC, P Maniam berkata beliau amat berpuas hati dapat membawa pulang satu mata berharga di tempat lawan apatah lagi TFC bukan calang-calang pasukan dan merupakan lawan yang kuat.
Bagaimanapun, beliau enggan berasa selesa dan mahu anak buahnya terus mempamerkan prestasi cemerlang bagi mencapai kedudukan teratas dalam saingan Liga Super musim ini.
"Saya selalu tekankan kepada pemain bahawa 'perfomance' adalah mustahak, kalau setiap individu bermain dengan baik maka kita akan dapat keputusan (perlawanan) yang baik," katanya amat berpuas hati dengan prestasi penjaga gol pasukannya, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
-- BERNAMA
#Nafuzi Zain #Terengganu FC #TFC #butang panik #skuad Penyu #perlawanan #bola sepak #Liga Super #PJ City FC
;