Nafuzi bangga KDA FC raih tiga mata walau pasukan dilanda kemelut

Bernama
Oktober 20, 2024 09:00 MYT
Pemain pasukan Terengganu FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid (kanan) cuba mengasak pamain pasukan KDA FC Sukhrob Nurulloev (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Darul Aman. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mohd Nafuzi Zain, meluahkan rasa bangga dengan persembahan pasukannya yang berjaya menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 1-0 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Menurutnya, para pemain KDA FC menunjukkan kesungguhan luar biasa, walaupun berhadapan dengan pelbagai kontroversi dan cabaran. Mereka berjaya mengenepikan masalah yang dihadapi dan memberikan komitmen penuh sepanjang perlawanan, sekali gus meraih tiga mata penuh.
"Untuk malam ini, tiada ungkapan yang boleh menggambarkan perasaan saya. Dalam situasi yang mencabar ini, pemain tetap memberikan yang terbaik. Mereka bermain habis-habisan selama 90 minit, walaupun kita tahu persiapan kita tidak sempurna dalam dua bulan terakhir ini, terutamanya dari segi latihan.
"Tiga mata yang diraih malam ini amat bermakna, dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pemain yang telah beraksi dengan penuh semangat hingga berjaya menang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC menewaskan Terengganu FC dengan jaringan 1-0 di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.
Nafuzi juga mengharapkan agar penyokong terus memberi sokongan kepada pasukan, terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran yang melanda skuad hijau kuning. Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana pasukan tetap bersamanya walaupun kemelut yang dihadapi masih berlarutan.
"Saya sangat berharap masalah gaji yang dihadapi KDA FC dapat diselesaikan secepat mungkin sebagai penghargaan kepada kesungguhan dan komitmen pemain," tambahnya.
"Saya memahami situasi kedua-dua pihak, tetapi saya percaya para pemain berharap sesuatu yang positif akan berlaku. Walaupun mereka masih belum menerima gaji, mereka tetap bermain dengan sangat baik," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, meminta para penyokong agar memberinya masa untuk membentuk pasukan yang mantap selepas baru sahaja mengambil alih pasukan tersebut.
Menurutnya, fokus utama selepas ini adalah untuk memperbaiki jentera serangan yang tumpul dalam perlawanan tersebut.
"Banyak perkara yang perlu saya perbaiki untuk pasukan ini. Namun, saya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan pemain dengan strategi yang baru," ujarnya.
-- BERNAMA
#KDA FC #Mohd Nafuzi Zain #Terengganu FC #Liga Super
;