Naffizwan, Delia selangkah pertahan gelaran juara skuasy kebangsaan
Bernama
November 19, 2016 23:29 MYT
November 19, 2016 23:29 MYT
Pilihan utama Mohd Nafiizwan Adnan dan Delia Arnold hanya selangkah lagi untuk mengulangi kejayaan menjuarai Kejohanan Skuasy Kebangsaan selepas menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir hari ini.
Nafiizwan memastikan tiket ke perlawanan akhir kategori lelaki dalam genggamannya selepas menjinakkan juara remaja dunia, Ng Eain Yow 11-8, 11-6, 11-9 dalam masa 34 minit di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini.
"Saya bermain baik pada perlawanan tadi dengan menguasai segenap penjuru gelanggang serta memberi tekanan sejak awal permainan dan itu menyukarkan Eain Yow.
"Saya percaya beliau (Ng) mampu menjadi pemain terbaik dunia, beliau masih muda dan perlu berlatih dengan sepenuh hati untuk memajukan diri," kata pemain ranking 31 dunia itu.
Pada aksi final esok, Nafiizwan bakal membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain negara, Ivan Yuen yang mara ke final selepas menundukkan Mohammad Addeen Idrakle Bahtiar 11-4, 11-4, 11-7 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, bagi kategori wanita, Delia terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain remaja negara, S. Sivasangari dalam aksi lima set yang berkesudahan 14-12, 10-12, 11-9, 6-11, 11-7 dalam masa 74 minit.
"Memang saya sudah jangkakan perlawanan sengit pada hari ini, Sivasangari bermain dengan baik, pujian harus diberikan kepadanya.
"Saya agak tertekan pada perlawanan tadi kerana bermain dengan seorang yang berstatus 'underdog' lebih menyukarkan sebenarnya," kata pemain ranking ke-15 dunia itu.
Delia bakal menentang seorang lagi jaguh negara, Low Wee Wern pada pentas final esok selepas Wee Wern berjaya menidakkan harapan Delia untuk bertemu adiknya Rachel di final selepas menang 11-5, 11-4, 11-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir. - BERNAMA