Nadal dijulang juara, ini antara fakta menarik Terbuka Australia 2022

Syafik Shukri Jalil
Januari 31, 2022 17:57 MYT
Kejuaraan ditempa Nadal pada Ahad merupakan trofi keduanya di Melbourne Park dalam tempoh 14 tahun selepas kali terakhir menjuarai Terbuka Australia pada 2009.- Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Tenis Terbuka Australia 2022 melabuhkan tirainya malam tadi dengan Rafael Nadal dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki sekali gus mencipta rekod meraih gelaran Grand Slam ke-21 miliknya.
Pencapaian itu meletakkan jaguh Sepanyol ini muncul pemain tenis lelaki dengan pencapaian trofi Grand Slam terbanyak dalam sejarah.
Ia seterusnya meninggalkan dua seteru utamanya iaitu Novak Djokovic dan Roger Federer, masing-masing kini dengan 20 trofi.
Menerusi aksi menentang Daniil Medvedev di Rod Laver Arena, Melbourne, Nadal meranapkan impian jaguh Rusia itu untuk memperoleh kemenangan Grand Slam keduanya selepas Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.
Seterusnya dalam aksi perseorangan wanita, jaguh kelahiran Australia, Ashleigh Barty berjaya menjinakkan Danielle Collins dengan kemenangan straight sets 6-3 dan 7-6.
Aksi pada Sabtu itu merupakan penampilan sulung buat kedua-dua pemain di gelanggang akhir Terbuka Australia.
Namun ia merupakan trofi Grand Slam ketiga milik Barty selepas Terbuka Perancis pada 2019 dan Terbuka Wimbledon pada 2021.
BACA: Terbuka Australia 2022: Rangkul trofi Grand Slam ke-21, Rafael Nadal cipta sejarah
BACA: Ashleigh Barty juara Terbuka Australia 2022
Berikut merupakan beberapa fakta menarik untuk kejohanan Terbuka Australia tahun ini;
1) Aksi pada Ahad merupakan pertembungan kelima (Head2Head) buat kedua-dua Nadal dan Medvedev dengan Nadal memperoleh empat kemenangan daripada kesemua pertemuan tersebut.
2) Kejuaraan ditempa Nadal pada Ahad merupakan trofi keduanya di Melbourne Park dalam tempoh 14 tahun selepas kali terakhir menjuarai Terbuka Australia pada 2009.
3) Bagi kategori perseorangan wanita, kemenangan Ashleigh Barty yang bertemu Collins merupakan kemenangan kedua atlet wanita Australia di kejohanan itu selepas Chris O’Neil pada 1978.
4) Aksi tersebut juga merupakan penampilan sulung Collins di gelanggang akhir Grand Slam.
5) Malah, Collins juga merupakan satu-satunya bintang tenis yang mara ke peringkat akhir tanpa sebarang tajaan melibatkan baju dan kasut yang dipakai dalam aksi tersebut.
6) Juara tahun lalu dan 2019, Naomi Osaka gagal mempertahankan kejuaraan apabila terkandas di pusingan ketiga selepas ditewaskan Amanda Anisimova dari Amerika Syarikat.
7) Peminat tenis sebelum ini memberi tumpuan kepada Novak Djokovic untuk mencipta rekod pencapaian Grand Slam di Terbuka Australia 2022 namun langkahnya terhenti kerana visanya dibatalkan kerajaan negara itu sebelum kejohanan membuka tirai.
8) Djokovic disebut-sebut sebagai heavy favorite kerana gelanggang di Melbourne Park merupakan ‘makanannya’ selepas mencipta sembilan kejuaraan di sana berbanding Nadal yang mendominasi 13 kemenangan di Roland Garros.
9) Juara bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima AUS$2.875 juta manakala naib juara menerima AUS$1.575 juta.
10) Sembilan atlet tenis membuat penampilan pertama dan mewarnai kejohanan kali ini termasuk Robin Anderson, Emina Bektas dan Anna Bondar.
#Terbuka Australia 2022 #Rafael Nadal #Ashleigh Barty #Daniil Medvedev #tenis
;