Nadal buat aksi di Cape Town sangat istimewa - Federer
Astro Arena
Februari 6, 2020 10:55 MYT
Februari 6, 2020 10:55 MYT
ROGER Federer berkata hanya Rafael Nadal boleh membuatkan aksi pada Ahad ini menjadi sesuatu yang sangat istimewa.
Bintang Switzerland, Federer, bakal berdepan seteru terhebatnya dalam aksi siri Match for Africa yang keenam anjuran yayasan pemenang 20 kali grand slam itu.
Federer akan bergandingan dengan pemilik Microsoft, Bill Gates, untuk menentang Nadal dan pengacara Daily Show yang dilahirkan di Afrika Selatan, Trevor Noah, untuk aksi beregu sebelum saingan perseorangan dijalankan melibatkan dua bintang terhebat tenis itu.
Sewaktu merancang acara di Cape Town itu, Federer hanya memikirkan satu nama dan dia mendedahkan telah cuba untuk mengelakkan bantuan Nadal tetapi tidak berjaya.
"Saya memikirkan tentang idea ini beberapa tahun lalu dan sering bertanya kepada diri sendiri: di mana, dengan siapa, sebesar mana ia dijalankan?" kata Federer dalam sidang media.
"Idea asal hanya mahukan satu perlawanan, jadi saya akan beraksi di sini dan orang ramai dapat melihat saya beraksi termasuk keluarga saya yang berada di sini.
"Ia semakin berkembang dan kami mahu cuba jadikannya lebih besar. Bagi saya, apabila sedar sesuatu yang sangat istimewa akan terjadi, hanya Nadal mampu merealisasikannya untuk penduduk di sini.
"Saya mempunyai hubungan dengan Nadal dan jika ada seseorang yang boleh membawanya ke Afrika Selatan, ia adalah saya. Saya bertanya kepadanya dan dia bersetuju.
"Kami cuba untuk berentap dalam tempoh dua tahun terakhir, jadi akhirnya kini berpeluang. Dia mahukannya lebih awal. Kami berdua telah bersedia tetapi jadual terlalu padat.
"Saya tidak sabar untuk melihat Nadal tiba di sini, pagi esok."