Muzium FIFA di Switzerland pelihara legasi ikonik bola sepak
Bernama
Disember 25, 2024 23:59 MYT
Disember 25, 2024 23:59 MYT
ZURICH: Peminat bola sepak mempunyai peluang unik untuk meneroka detik ikonik permainan itu dengan melihat baju dan but pemain legenda, serta menyaksikan memorabilia Piala Dunia di Muzium FIFA yang dibuka pada 2016 di Zurich, lapor Agensi Anadolu (AA).
Muzium di bandar Switzerland itu menawarkan pengunjung peluang untuk melihat jersi bola sepak yang ditandatangani oleh pemain legenda seperti bekas bintang Argentina Diego Armando Maradona dan bekas penyerang Brazil Pele.
Mereka juga boleh menonton video aksi menggelecek bintang Belanda Johan Cruyff dan gol emas penyerang Turkiye Ilhan Mansiz semasa menentang Senegal pada suku akhir Piala Dunia FIFA 2002.
Trofi Piala Dunia FIFA lelaki dan wanita sangat popular dengan pengunjung mengerumuni kawasan pameran muzium untuk melihatnya.
Peminat juga boleh melihat memorabilia daripada perlawanan akhir Piala Dunia lelaki pertama di Uruguay pada 1930 hingga yang terbaru di Qatar pada 2022.
Argentina yang diketuai Lionel Messi memenangi Piala Dunia FIFA 2022, manakala Sepanyol dinobatkan sebagai juara Piala Dunia wanita pada 2023.
Selain itu, muzium ini juga mempamerkan baju bola sepak asal dari 211 negara, serta bola sepak Piala Dunia daripada kejohanan sebelumnya.
Untuk meninggalkan barang mereka, pengunjung muzium terlebih dahulu akan melihat lokar yang dinamakan sempena legenda seperti bekas penyerang Brazil Ronaldo dan bintang Argentina Lionel Messi.
Pengunjung juga boleh menonton pencapaian pasukan kebangsaan mereka yang tidak dapat dilupakan dengan memilih negara mereka daripada peta pada skrin digital dan detik perlawanan terkenal di Muzium FIFA.
Muzium ini juga memaparkan catatan pengadil Rudolf Kreitlein dari suku akhir Piala Dunia 1966 antara England dan Argentina, serta figura "juju" yang pernah digunakan di negara Afrika, Benin untuk membawa kejayaan kepada pasukan tempatan.
Muzium ini telah menerima pengunjung dari lebih 140 negara.
Selain lawatan muzium, pengunjung boleh menguji kemahiran bola sepak mereka dan bermain "mesin pinbal" gergasi.
Muzium itu dibuka pada 28 Februari 2016 oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Ia merangkumi sekurang-kurangnya 3,000 meter persegi dan mempamerkan sekurang-kurangnya 1,000 barangan bola sepak yang unik.
Badan induk bola sepak dunia FIFA telah meraikan ulang tahun ke-120 penubuhannya pada bulan Mei
-- BERNAMA