Muthu dicabar Shahidan bagi jawatan Presiden KOM
Bernama
Jun 1, 2022 05:34 MYT
Jun 1, 2022 05:34 MYT
KUALA LUMPUR: Penyandang jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu akan berdepan saingan tiga penjuru pada pemilihan badan induk itu bagi penggal 2022-2025.
Pemilihan tersebut akan diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM, 12 Jun ini.
Muthu akan dicabar Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas atlet wanita Selangor era 90-an, Nurhayati Karim.
Untuk rekod, Shahidan pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012, namun terpaksa melepaskan jawatan tersebut selepas kalah kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.
Sementara itu, dua calon akan bersaing bagi merebut jawatan timbalan presiden melibatkan Datuk Fadzil Abu Bakar dan Datuk Seri V Pulanthiran.
Jawatan naib presiden pula menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Nurhayati, Datuk Mark William Ling, Josephine Kang, Datuk R. Annamalai, Syamsul Bani Abdullah dan Sallehuddin Satar.
Pengumuman calon tersebut dilakukan Pegawai Pemilihan Jawatankuasa KOM Datuk V. Subramaniam pada sidang media di Wisma OCM, di sini, semalam.
Subramaniam berkata selepas kertas pencalonan dibuka semalam, pihaknya turut menerima bantahan melibatkan sama ada seorang calon boleh bertanding dua jawatan, selain pengesahan calon sama ada sah atau tidak untuk bertanding pada pemilihan tersebut.
-- BERNAMA