Mustahil untuk berasa gembira - Pochettino
Astro Arena
November 10, 2019 08:53 MYT
November 10, 2019 08:53 MYT
TOTTENHAM HOTSPUR 1 SHEFFIELD UNITED 1
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, berkata adalah mustahil untuk berasa gembira selepas pasukannya bergelut sebelum terikat 1-1 dengan Sheffield United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di laman sendiri lewat malam tadi.
George Baldock memadamkan gol pembukaan Son Heung-min pada 12 minit terakhir, yang mengakibat rekod tanpa kemenangan Spurs dalam liga berlarutan sejak September lalu.
Skuad kendalian Pochettino itu hanya meraih tiga daripada 15 mata terakhir yang ditawarkan dan pengendali berbangsa Argentina itu mengakui pasukannya tidak layak untuk menang ke atas lawan yang kental itu.
"Ia perlawanan yang seimbang dan sukar buat kami, mereka pasukan yang baik dan amat teratur," katanya kepada BBC Sport.
"Amat sukar untuk beraksi dalam babak pertama tetapi dalam babak kedua, kami menjadi lebih baik.
"Secara keseluruhannya, ia keputusan yang adil.
"Kami amat menyedari cara permainan mereka, mereka seri di Chelsea dan beraksi dengan amat baik.
"Perkara paling sukar buat kami adalah untuk menyaingi tenaga mereka.
"Dalam babak kedua, kami jauh lebih baik dan dapat menyaingi mereka.
"Saya fikir mereka layak meraih satu mata.
"Saya perlu memandang ke depan dan berusaha keras, dan mencuba untuk meningkatkan pasukan.
"Kami tidak berada di posisi terbaik dalam liga.
"Anda akan sentiasa kecewa apabila tidak menang dan amat mustahil untuk berasa gembira," katanya.
Keputusan 1-1 ketiga dalam empat perlawanan terakhir itu mengakibatkan Spurs tergelincir ke dalam kelompok separuh terbawah Liga Perdana dan Pochettino menambah: "Realitinya adalah, untuk sebab-sebab yang berbeza, kami gagal memaparkan prestasi seperti yang diharapkan.
"Kami mencuba untuk membina keyakinan, pasukan ini berada dalam situasi di mana kami sedang mencari keseimbangan terbaik."
Tanguy Ndombele terpaksa dikeluarkan pada waktu rehat kerana mengalami kecederaan paha dan Pochettino berasakan ketiadaan pemain tengah Perancis itu menyebabkan pasukannya bergelut.
"Kami perlu memantau keadaannya. dia berasa sakit di kelangkangnya.
"Kami tidak pasti sama ada ia (kecederaan itu) berlaku sebelum atau sewaktu perlawanan tetapi dia kata dia boleh beraksi dalam perlawanan itu.
"Kemudian dia terpaksa keluar pada waktu rehat dan doktor berkata kepada saya yang dia tidak boleh bermain lagi.
"Saya fikir ia menjejaskan pasukan saya," katanya lagi.
Pemain tengah Sheffield United, Baldock, menjaringkan gol menerusi sepakan lintang yang mengelirukan, 16 minit selepas gol rakan sepasukannya, David McGoldrick, dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.
Empat minit diperlukan VAR untuk membuat keputusan bahawa John Lundstram terlebih dahulu berada di posisi ofsaid sebelum jaringan McGoldrick terhasil.
Pengurus pasukan pelawat itu, Chris Wilder, menerima keputusan berkenaan tetapi mempersoalkan tentang masa yang terlalu lama diperlukan untuk menentukan keputusan itu.
"Saya fikir dalam beberapa perkara, anda perlu mengadakan proses dan melakukan sesuatu pada musim panas depan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
"Saya yakin ia (VAR) akan dikekalkan di sini.
"Saya ke Everton untuk melihat perlawanan mereka dengan Spurs dan waktu yang diperlukannya (VAR untuk menentukan keputusan) amat panjang.
"Ia mengubah permainan dan akan mencetuskan perdebatan.
"Masa tambahan yang terlalu panjang tidak bagus untuk sesiapa.
"Jika ia ofsaid, kita perlu terima," katanya.
#Argentina
#Chelsea
#Liga Perdana Inggeris
#Mauricio Pochettino
#pengurus
#Sheffield United
#Tottenham Hotspur
#video