Murray sasar kembali kompetitif awal tahun
Astro Arena
November 8, 2017 12:26 MYT
November 8, 2017 12:26 MYT
Andy Murray menetapkan sasarannya untuk kembali beraksi di Australia pada awal tahun nanti, begitupun dia tidak akan tergesa-gesa untuk kembali ke Jelajah Dunia ATP.
Disebabkan masalah pinggul yang berulang, Murray, yang memulakan musim 2016 sebagai pemain nombor satu dunia, terpaksa berehat panjang sejak gagal mempertahankan gelaran Terbuka Wimbledon apabila terkandas dalam suku akhir kepada Sam Querrey, Julai lalu.
Akibat kurang beraksi, ranking pemain Britain itu tergelincir ke tangga 16 dunia dan akan terlibat dalam perlawanan pertunjukkan menentang Roger Federer di Glasgow, minggu ini.
Menjelang aksi itu, Murray berharap dia layak beraksi dalam Kejohanan Antarabangsa Brisbane yang bermula pada 1 Januari nanti sekiranya keadaan fizikalnya mengizinkan.
"Saya berharap untuk berada di sana (di Brisbane), pemulihan saya berjalan dengan lancar namun saya belum pasti lagi sejauh mana tahap sebenarnya dan hanya akan menilainya secara mingguan," katanya.
"Saya pernah mengalami detik sukar dan semuanya berlaku sekelip mata. Saya telah berlatih selama beberapa minggu. Ada masanya saya berasa hebat dan begitulah sebaliknya.
"Bagaimanapun, saya akan kembali apabila saya bersedia dan apabila 100 peratus cergas. Saya mungkin membuat kesilapan besar apabila cuba beraksi dalam Terbuka Amerika Syarikat kerana ia merupakan kejohanan utama yang terakhir pada tahun ini, sebab itulah saya mahu mencubanya.
"Kini sudah tiba masanya untuk memberikan tubuh saya rehat dan pemulihan yang diperlukan, saya akan kembali apabila saya bersedia."
#Andy Murray
#Australia
#Britain
#Jelajah Dunia ATP
#masalah pinggul
#Roger Federer
#Sam Querrey
#tennis
#Terbuka Wimbledon