Mupok Lok! jumpa 'KitakOrang Rah' Para SUKMA di Selangor!
Bernama
September 28, 2024 06:45 MYT
September 28, 2024 06:45 MYT
KUCHING: Selepas melalui seminggu penuh emosi, ketabahan dan kejayaan di Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024, Sarawak akhirnya melabuhkan tirai temasya dengan ucapan selamat tinggal atau "Mupok Lok" dalam bahasa tempatan, menandakan berakhirnya acara tersebut di Bumi Kenyalang.
Obor rasmi temasya dwitahunan yang dinyalakan oleh jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin dipadamkan dalam satu upacara gilang-gemilang sebagai simbolik penutupan di Stadium Perpaduan di sini malam tadi.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan kehadiran atlet serta pegawai dari 15 kontinjen yang menyaksikan 327 pingat emas dipertandingkan dalam 10 jenis sukan, selepas pingat emas acara lompat jauh wanita T12 tidak dianugerahkan kerana hanya disertai seorang peserta.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah merangkap menteri bertanggungjawab bagi Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Segmen atlet terbaik Para SUKMA 2024 mencuri tumpuan apabila perenang Sabah Shahafiq Abdullah dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik manakala Loh Chi Hui dari Pahang, mewakili sukan memanah recurve, dipilih sebagai Atlet Wanita Terbaik.
Shahafiq meraih enam pingat (empat emas, satu perak dan satu gangsa) serta memecahkan empat rekod kebangsaan sementara Chi Hui mencatat satu rekod kebangsaan dengan empat pingat emas. Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM2,000 dan piala yang disampaikan oleh Hannah.
Sarawak kembali merampas status juara keseluruhan dengan 82 pingat emas, 53 perak, dan 74 gangsa. Sabah, juara bertahan, menamatkan saingan di tempat kedua dengan 62 emas, 42 perak, dan 32 gangsa manakala Johor di tempat ketiga (33-35-29).
Majlis penutupan bermula dengan persembahan Kumpulan Sedidik, terdiri daripada 40 penari cilik yang mempersembahkan bahasa isyarat semasa lagu Negaraku dan lagu negeri Sarawak, Ibu Pertiwiku dimainkan.
Persembahan diteruskan dengan sajak bertema 'Sang Juara' diiringi alunan muzik seruling, gendang dan gitar dengan disertai oleh 10 penari dari sekitar Kuching.
Upacara diteruskan dengan perarakan masuk 15 kontinjen negeri, didahului oleh Jalur Gemilang yang diketuai oleh Staf Sarjan Azwan Zulkifli dari Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sebagai simbolik penutupan, bendera temasya diturunkan dan diserahkan oleh Fatimah kepada wakil Menteri Besar Selangor, Ketua Kontinjen Negeri Selangor, Azura Sarbin, sebagai tuan rumah edisi 2026, diikuti dengan persembahan Tarian Patenun.
-- BERNAMA