Mungkin tiada program larian di Sabah tahun ini

Astro Arena
Mei 5, 2020 07:50 MYT
Steve sering terbabit menganjurkan atau menyelia program-program sukan lasak termasuk larian di Sabah dan Labuan. - Astro ARENA
KEMUNGKINAN besar tiada program-program larian diadakan di Sabah sehingga akhir tahun ini berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Presiden Kelab Peminat Sukan Ekstrem Sabah dan Labuan, Steve Johnny Mositun, berkata pihaknya menerima hakikat program larian adalah antara yang tidak boleh dianjurkan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini kerana acara itu membabitkan ramai orang.
"Kita pun tidak tahu bila COVID-19 ini dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berakhir, namun hakikatnya, program larian adalah antara yang tidak boleh dianjurkan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini kerana acara ia melibatkan ramai orang.
"Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, acara-acara larian yang kami anjurkan disertai ramai orang termasuk dari luar negara, ada mencecah ribuan orang tetapi nampaknya tidak ada larian yang dapat dianjurkan sehingga akhir tahun ini," katanya.
Steve adalah individu yang sering terbabit menganjurkan atau menyelia program-program sukan lasak termasuk larian di Sabah dan Labuan.
Beliau, yang juga pengarah urusan Casero Events serta Timbalan Pengerusi Majlis Belia KDCA, berkata pihaknya hanya sempat mengelolakan sukan lasak Duathlon Labuan 2020 pada awal Mac lalu.
"Kami sudah dan sedang merancang beberapa lagi program larian dan sukan lasak selepas acara Duathlon Labuan tetapi semuanya tergendala ekoran kehadiran COVID-19," katanya.
Tambahnya, antara yang sudah dalam perancangan tetapi mungkin akan dibatalkan atau ditunda ialah Sungkadon Obstacle Run 2020 yang sepatutnya berlangsung di Papar pada Ogos depan.
Program lain yang biasa dikelolakan Steve setiap tahun yang tidak dapat dianjurkan tahun ini atau ditunda adalah Kokol Nature Adventure, Hongkod Run dan Cabaran Ruhiang Kiulu serta acara permotoran.
"Buat masa ini, kita hanya mampu berharap COVID-19 ini akan segera terhapus dan saya juga berharap kepada semua, terutama peminat dan pengamal sukan lasak termasuk larian, marilah bersama-sama memainkan peranan menamatkan COVID-19 dengan mematuhi nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya lagi.
#batal #COVID-19 #Kelab Peminat Sukan Ekstrem #Labuan #larian #penjarakan sosial #PKP #rekreasi #riadah #Sabah #Steve Johnny Mositun #sukan #sukan ekstrem #sukan lasak #tunda
;