Muncul juara Terbuka Denmark, Aaron-Wooi Yik raih gelaran Jelajah Dunia sulung

Bernama
Oktober 22, 2023 23:30 MYT
Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya meraih gelaran Jelajah Dunia pertama mereka apabila menjuarai Terbuka Denmark 2023 malam ini di Jyske Bank Arena, Odense. - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya meraih gelaran Jelajah Dunia pertama mereka apabila menjuarai Terbuka Denmark 2023 malam ini di Jyske Bank Arena, Odense.
Juara dunia 2022 yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan itu, ternyata berada dalam kelas tersendiri selepas merakam kemenangan 21-13, 21-17 dalam tempoh 33 minit, ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia
Aaron-Wooi Yik mengawal permainan pada set pertama dengan mendahului 11-6 sebelum menoktahkan kemenangan ke atas beregu ke-14 dunia itu dengan kelebihan lapan mata.
Muhammad Shohibul-Bagas cuba memberikan tentangan pada set kedua namun gagal menyaingi beregu Malaysia itu, sebelum Aaron menamatkan permainan dengan pukulan deras untuk meraih mata kemenangan, sekali gus mengesahkan kejuaraan.
Ini merupakan gelaran pertama diraih Aaron-Wooi Yik selepas menempuh enam final Jelajah Dunia termasuk tiga pada musim ini, dengan kali terakhir mereka beraksi di pentas final adalah pada Terbuka China, September lepas.
Aaron-Wooi Yik membawa pulang wang hadiah kemenangan berjumlah AS$62,900 (RM299,875).
Terdahulu, Cheng Qing Chen-Jia Yi Fan dari China muncul juara beregu wanita selepas menewaskan gandingan Jepun Nami Matsumaya-Chiharu Shida 21-16, 21-13 manakala dalam beregu campuran Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China menewaskan rakan senegara Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 16-21, 21-15, 26-24 untuk merangkul gelaran.
Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, Chen Yu Fei dari China memastikan gelaran miliknya selepas menundukkan Carolina Marin dari Sepanyol 21-14, 21-19.
-- BERNAMA
#gelaran Jelajah Dunia #juara Terbuka Denmark #Aaron Chia-Soh Wooi Yik #beregu lelaki negara #badminton
;