Muncul juara dunia muaythai, Nur Amisha anggap pengorbanan 15 tahun berbaloi

Bernama
Mei 17, 2023 13:24 MYT
Nur Amisha Azrilrizal (dua, kiri) muncul Juara di Kejohanan Muaythai Dunia 2023 di Bangkok, Thailand. - Foto Bernama
IPOH: Berbaloi, kata Nur Amisha Azrilrizal mengenangkan pengorbanan lebih 15 tahun menceburkan diri dalam sukan muaythai apabila akhirnya beliau dinobatkan juara di Kejohanan Muaythai Dunia 2023 di Bangkok, baru-baru ini.
Beliau yang mula mempelajari seni mempertahankan diri daripada Thailand itu ketika usia 7 tahun, merangkul emas bagi kategori 51 kilogram (kg) wanita bawah 23 tahun (B-23).
Pelajar Diploma Pengajian Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu sebelum ini memenangi pingat gangsa pada edisi 2021 kejohanan tersebut diikuti pingat perak pada 2022.
Tiada kata selain ucapan penghargaan diungkap anak jati Gunung Rapat, Perak itu apabila mengenangkan pengorbanan bapanya Azrilrizal Abd Aziz dan ibunya Maizura Mohamad Jaafar, yang berulang-alik menghantarnya untuk berlatih selepas waktu sekolah setiap hari.
"Syukur yang dapat saya ungkap. Penghargaan tidak terhingga juga kepada jurulatih, penaja-penaja dan institusi pendidikan yang banyak memberi peluang dan begitu memahami, kejayaan ini saya dedikasi untuk semua termasuk rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Penyatuan Ummah Fisabilillah di sini.
Turut hadir atlet muaythai negara Mohd Rifdean Masdor yang berjaya mencipta 'hatrik' gelaran dunia selepas muncul juara buat kali ketiga kategori 51kg lelaki B-23 dan Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli yang meraih perak pada kejohanan sama, serta jurulatih mereka Bernard Radin yang juga Presiden Persatuan Muaythai Perak.
Sementara itu, mengulas mengenai cabaran berkecimpung dalam sukan itu yang dimonopoli kaum lelaki, Nur Amisha berkata tiada istilah diskriminasi jantina dalam muaythai.
"Setiap kali berlatih dengan rakan sepasukan lelaki, setiap kali menerima tumbukan dan sepakan mereka, dan setiap kali itulah saya berjaya menangkis, saya pasti tiada kekuatan yang tidak boleh saya saingi (dalam muaythai)," katanya.
Terdahulu di Kejohanan Muaythai Dunia pada 3 hingga 13 Mei lepas, Malaysia yang diwakili 10 atlet membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan sebutir gangsa.
-- BERNAMA
#Nur Amisha Azrilrizal #Muaythai #juara dunia #Bangkok
;