Mula di bangku simpanan cetus spekulasi masa depan Cristiano Ronaldo

Astro Arena
Ogos 23, 2021 08:48 MYT
Cristiano Ronaldo menjaringkan gol yang kemudiannya dibatalkan ketika perlawanan Serie A antara Udinese dan Juventus di Dacia Arena, Udine, Itali, 22 Ogos, 2021. (Foto AP)
UDINESE 2 JUVENTUS 2
Cristiano Ronaldo meningkatkan desas-desus perpindahannya selepas dipinggirkan Juventus dalam kesebelasan utama ketika bertemu Udinese, tetapi Massimiliano Allegri menegaskan keputusannya itu tiada salahnya.
Drama perpindahan bintang Portugal itu kembali hangat dan penggempur itu hampir muncul wira pasukannya dalam perlawanan pembukaan kempen Serie A awal pagi tadi.
Namun, video bantuan pengadil (VAR) kemudian membatalkan tandukan klinikalnya dan Juventus itu harus berpuas hati untuk seri 2-2 selepas dibayangi dua kesilapan penjaga gol, Wojciech Szczesny.
Szczesny mungkin sedikit bertuah memandangkan tumpuan utama terarah kepada Ronaldo.
Buat pertama kalinya sejak berkelana ke Itali, Ronaldo telah memulakan dua perlawanan berturut-turut dari bangku simpanan termasuk ketika bertemu Bologna, Mei lalu.
Allegri, yang bertugas bagi penggal kedua sebagai pengurus The Old Lady selepas kegagalan Andrea Pirlo, membuat kejutan terhadap barisan terbaik taruhannya apabila Ronaldo hanya masuk selaku pemain gantian.
Tindakan itu pantas mengundang spekulasi media utama Itali yang mengaitkan Ronaldo meminta untuk berpindah sebelum jendela perpindahan ditutup pada hujung bulan ini.
Allegri yang ditemui selepas perlawanan berkata bahawa keputusan itu diambil semata-mata atas pertimbangannya demi kepentingan pemain dan pasukan.
"Cristiano baik-baik saja, saya telah bercakap dengannya berdasarkan keadaan semua orang pada awal musim ini termasuk memikirkan perlawanan terutama pada awal kempen dan saya berkata kepadanya, 'anda diletakkan di bangku simpanan, dalam separuh masa kedua kami memerlukan anda', "kata Allegri.
"Dia bersedia dan dia juga melakukannya dengan baik: dia juga menjaringkan gol tapi sayangnya ia tidak menyebelahinya dalam jarak satu sentimeter."

Not the result we wanted to start but we'll always continue to fight. There's strength in this team! #ForzaJuve pic.twitter.com/vmjjMtRyPf

— Federico Bernardeschi (@fbernardeschi) August 22, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Allegri memimpin Juventus meraih lima gelaran Serie A dalam penggal pertamanya di kelab itu dari 2014 hingga 2019, dan berehat dua tahun sebelum menerima tawaran untuk kembali.
Scudetto sekali lagi menjadi sasaran mereka selepas sembilan kali kejuaraan berturut-turut itu berakhir musim lalu ketika dibimbing Pirlo.
Allegri memperoleh peratusan kemenangan sebanyak 70.48 peratus daripada 271 perlawanan dalam musim pertamanya di Juve, tetapi kejayaan kali mungkin sukar untuk dicapai bersandarkan bagaimana anak buahnya bermula dengan hebat tetapi membiarkan Udinese menguasai babak kedua.
Gol awal daripada Paulo Dybala dan Juan Cuadrado meletakkan Juve di depan tetapi kecuaian Szczesny memberikan sepakan penalti berikutan membiarkan bola terlepas daripada genggamannya sebelum mengundang kesilapan lebih parah pada minit ke-83 untuk Gerard Deulofeu menolak bola ke pintu gol yang sudah tidak dikawal.
Juventus kini melepaskan lapan penalti dalam Serie A sejak awal 2021: hanya Udinese (13) yang dibolosi lebih banyak dalam situasi sama pada tahun ini.
"Perkara yang tidak dijangka berlaku: inilah bola sepak," kata Allegri yang dipetik di laman sesawang rasmi Juventus.
"Kami mengawal permainan dalam separuh masa pertama dan kami seharusnya menguasai bola dengan lebih baik. Kemudian kami tidak tahu bagaimana untuk menguruskan perkara yang tidak diduga dan ini adalah satu pengajaran untuk dibawa pulang.
"Persembahan kami bagus tetapi dalam bola sepak satu-satunya perkara yang penting ialah menang dan mengetahui cara membaca detik perlawanan. Dalam babak kedua, kami dua atau tiga kali kehilangan bola di bahagian tengah, mungkin juga ia disebabkan cuaca panas selain keadaan pada awal musim."
#Cristiano Ronaldo #bola sepak #cuaca panas #Itali #penalti #Portugal #Serie A #perpindahan #Juventus #Udinese #Massimiliano Allegri #tandukan #gol dibatalkan #bangku simpanan
;