Mukhairi mahu kembali perkuat skuad Harimau Malaya

Bernama
Mac 11, 2024 05:00 MYT
Kali terakhir Mukhairi berada dalam skuad Harimau Malaya adalah sewaktu Malaysia menewaskan Kyrgyrzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 pada dua aksi pertama Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 tahun lepas. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain tengah muda negara Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi memasang impian untuk kembali berada dalam skuad Harimau Malaya selepas tidak terpilih ke saingan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas.
Pemain Selangor FC berusia 23 tahun itu yang perlu bersaing dengan barisan pemain senior, sedia memberikan segalanya bagi merebut tempat dalam skuad bimbingan Kim Pan Gon yang akan meneruskan cabaran Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan ini.
Malaysia di ranking dunia ke-132 dijadual menentang Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat pada 22 Mac (2 pagi waktu Malaysia) sebelum melayani kunjungan pasukan ke-80 dunia itu di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, pada 26 Mac.
"Saya memang nak berada dalam skuad ke Oman dan saya akan buat yang terbaik, tunjuk apa yang saya ada (dalam kem latihan pusat)...saya rasa (permainan pasukan) banyak berbeza sekarang sebab kita dah layak ke Piala Asia.
"Apa yang saya tengok intensiti permainan sangat berbeza, sangat laju, jadi saya kena perbaiki lagi kekurangan dan tingkatkan prestasi seperti yang diinginkan jurulatih," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mukhairi berkata Malaysia perlu berwaspada kerana Oman memiliki kelebihan dari segi tahap kecergasan dan fizikal kerana saingan liga di sana sedang berjalan, sementara hampir semua pemain negara baru menjalani latihan pramusim bagi menghadapi Liga Malaysia yang bermula Mei ini.
Anak buah Pan Gon akan menentang Nepal dalam aksi pemanas badan dijadual berlangsung secara tertutup di Wisma FAM pada 15 Mac ini sebelum berlepas ke Muscat pada 17 Mac.
Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, diikuti Oman dan Kyrgyzstan yang berkongsi tiga mata di kedudukan kedua dan ketiga manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata berbaki empat perlawanan lagi.
Mukhairi yang merupakan kapten skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ketika ini perlu bersaing dengan antaranya empat pemain tengah yang beraksi di Piala Asia 2023 iaitu Endrick Dos Santos, Mohamed Syamer Kutty Abba, Brendan Gan dan Stuart Wilkin serta rakan sepasukannya di Selangor, Nooa Laine.
Kali terakhir Mukhairi berada dalam skuad Harimau Malaya adalah sewaktu Malaysia menewaskan Kyrgyrzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 pada dua aksi pertama Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 tahun lepas, namun tidak diturunkan dalam kedua-dua perlawanan itu.
Sebelum itu, Mukhairi tidak meraih minit permainan pada saingan Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober, sekali gus menyaksikan kali terakhir beliau menyarung jersi pasukan negara adalah ketika Malaysia menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea 10-0 di Terengganu pada Jun.
Sekiranya terpilih dalam skuad dan diberi peluang beraksi dalam dua perlawanan menentang Oman, pengalaman itu pastinya menjadi motivasi terbaik buat Mukhairi yang akan berjuang bersama skuad B-23 pada saingan Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April ini.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #muhammad mukhairi ajmal mahadi #Kelayakan Piala Dunia 2026 #Oman
;