Muizz juara rookie ke-3 pada anugerah Meritus F4 SEA 2017
Bernama
Jun 8, 2018 06:21 MYT
Jun 8, 2018 06:21 MYT
Prestasi membanggakan pelumba muda negara, Muizz Musyaffa dan Nazim Ahmad di Kejohanan Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) sepanjang tahun lepas dihargai pada malam Anugerah Gala F4 SEA Meritus di sini, malam tadi.
Muizz, 16 tahun, yang menaiki podium dua kali tahun lalu dengan kali terakhir pada pada pusingan akhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, dinobatkan sebagai Juara Rookie Ketiga.
Pelumba Thailand, Kane Shepherd memenangi anugerah tersebut manakala pelumba Jepun, Hibiki Taira dinobatkan pemenang kedua.
Muizz turut menerima biasiswa untuk meneruskan impiannya dalam acara perlumbaan.
Sementara itu, Nazim, 17 tahun, yang bersaing di Eropah, menerima anugerah Pemanduan Terbaik susulan kejayaannya pada pusingan pembukaan F4 SEA iaitu perlumbaan sokongan F1 Malaysia Grand Prix di Litar Sepang pada Oktober tahun lalu.
Bintang meningkat naik dari China, Daniel Cao merangkul anugerah Juara Keseluruhan susulan prestasi cemerlang selepas tamat musim 2017.
Daniel turut memenangi anugerah Pusingan Terpantas pada perlumbaan di Sepang dan Filipina.
Selain, itu majlis anugerah itu turut menyaksikan empat individu lain dinobatkan anugerah iaitu anugerah Best Recovery (Luke Thompson - Ireland), Bakat Harapan (Alessandro Ghiretti - Perancis), manakala anugerah Jurutera Terbaik dan Mekanik Terbaik dimenangi masing-masing oleh Azizul Azfar dan Shah Effendy.
Kejohanan F4 SEA adalah kejohanan Asia Tenggara FIA iaitu tahap pertama untuk pelumba muda berusia antara 15 dan 19 tahun untuk melangkah ke kejohanan utama FIA seperti GT Racing atau Formula Satu (F1).
-- BERNAMA