Muhammad Zulfahmi dianugerah 'Pelumba Paling Meningkat 2012'
Bernama
November 9, 2012 20:02 MYT
November 9, 2012 20:02 MYT
Pelumba tunggal negara dalam kategori Moto3, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, dinamakan sebagai pemenang anugerah 'Pelumba Paling Meningkat 2012' dalam kategori tersebut.
Pemilihan untuk anugerah tersebut dilakukan oleh laman rasmi Kejuaraan MotoGP Dunia, www.motogp.com., menerusi program pemilihan 'After the Flag' setiap tahun.
"Saya memang sangat berbangga untuk menerima anugerah ini.
"Ia adalah satu pengiktirafan besar atas usaha saya tahun ini dan ia pasti akan mendorong saya untuk bekerja lebih gigih dalam mencapai matlamat untuk menjadi pelumba utama bertaraf dunia.
"Anugerah ini juga akan pasti meningkatkan keyakinan saya untuk musim depan," kata pelumba pasukan AirASia-SIC-Ajo Racing seperti dipetik dalam laman rasmi Sepang International Circuit (SIC), www.malaysiangp.com.my.
Pelumba berusia 21 tahun, yang berasal dari Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor, menceburi dunia MotoGP sebagai pelumba 'wildcard' dalam acara 125cc pada MotoGP Grand Prix Malaysia pada 2009.
Pada tahun berikutnya, beliau menunjukkan peningkatan mendadak dalam musim pertama kategori 125cc dan dengan sokongan pasukan Ongetta Racing Team, berpangkalan di Itali, beliau menduduki tempat ke-24 keseluruhan.
Pada 2011, beliau memperbaiki kedudukan di tangga ke-18 selepas mengumpul 30 mata.
Pada musim pertama Kejuaraan Dunia Moto3 tahun ini, Muhammad Zulfahmi mencipta sejarah apabila menduduki podium di tempat kedua pada Grand Prix Malaysia bulan lepas.
Pelumba negara itu menamatkan saingan musim ini dengan menduduki tempat kelapan dengan mengumpul 112 mata dalam 16 perlumbaan.