Muhammad Ziyad cipta sejarah kalahkan atlet normal

Bernama
Jun 13, 2017 22:14 MYT
Muhammad Ziyad turut menewaskan rakan senegara, Adi Aliffuddin Hussin yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura 2015, yang sekadar menduduki tangga keempat dengan lontaran sejauh 15.96m. - Instagram ziyadzolkefli
Atlet paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli mencipta sejarah apabila meraih pingat emas acara lontar peluru pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand di Kompleks Sukan Universiti Thammasat di Bangkok hari ini.
Muhammad Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.07 meter pada lontaran kelima untuk mengatasi dua atlet tuan rumah, yang masing-masing melakukan lontaran 16.80m dan 16.53m untuk memenangi pingat perak dan gangsa.
Terdahulu, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu melakukan lontaran pertama sejauh 16.67m, 17.00m (kedua), 15.83m (ketiga) dan 16.07m (keempat).
Muhammad Ziyad turut menewaskan rakan senegara, Adi Aliffuddin Hussin yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura 2015, yang sekadar menduduki tangga keempat dengan lontaran sejauh 15.96m.
Untuk rekod, lontaran dibuat Muhammad Ziyad itu mengatasi catatan pemenang pingat perak Sukan SEA 2015, Chatchawal Polyiam dari Thailand yang melakukan lontaran sejauh 17.05m di temasya berkenaan.
"Alhamdulillah, dapat mengharumkan nama negara sekali lagi di Thailand Open (Terbuka Thailand). Catatan balingan 17.07m di balingan kelima. Syukur tak terhingga," katanya menerusi akaun Instagram.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau mahu melihat Muhammad Ziyad dan seorang lagi atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly (lompat jauh) meraih pingat di temasya Sukan SEA ke-29.
"Cabaran saya kepada Ziyad dan Latif sebab mereka sudah layak dan disenaraikan untuk menjadi atlet bagi Sukan SEA adalah untuk menang bertanding dengan atlet normal yang lain.
"Harapan saya untuk Ziyad dan Latif pada tahun ini, agar mereka dapat menang pingat di Sukan SEA, bukan di Sukan Para ASEAN sebab saya rasa mereka akan menang pingat emas (Para ASEAN)," katanya pada sidang media selepas Dialog TN50 di sini hari ini.
Seramai 1,000 peserta terdiri daripada atlet kebangsaan, bekas atlet, penggiat sukan dan mereka yang terlibat dalam bidang sukan turut serta dalam program dialog berkenaan.
-- BERNAMA
#Abdul Latif Romly #atlet paralimpik #Bangkok #Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand #Khairy Jamaluddin #Kompleks Sukan Universiti Thammasat #Muhammad Ziyad Zolkefli
;