Muhammad Syahmi tidak mahu sia-siakan peluang beraksi di Piala Asia
Bernama
Januari 6, 2024 21:47 MYT
Januari 6, 2024 21:47 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Harimau Malaya Muhammad Syahmi Safari tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di Piala Asia 2023 dengan mempamerkan permainan terbaik pada kejohanan yang bermula 15 Jan ini.
Beliau berkata peluang beraksi di kejohanan yang disifatkan sebagai pentas tertinggi serta menjadi impian setiap pemain Malaysia itu akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu pasukan negara memberi tentangan sengit.
"Ini adalah Piala Asia pertama untuk saya dan rakan-rakan yang lain, sebelum ini 2018, kita main Piala Asia bawah-23 tahun (B-23) tetapi ini adalah Piala Asia sebenar, pentas terbaik dan tertinggi bagi pemain terutama bagi pemain Malaysia.
"Jadi setiap pemain ingin membuktikan sesuatu terutamanya membantu pasukan kebangsaan mara dalam kejohanan," katanya dalam klip audio yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
Dalam pada itu, pemain berusia 25 tahun itu berkata ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon telah menjalankan latihan berintensiti tinggi sejak mereka tiba di Qatar, Doha pada 31 Dis lepas.
Katanya ia bagi memastikan pasukan mampu mengadaptasi corak permainan pasukan-pasukan gergasi Asia.
"Yang penting semangat dan komitmen perlu bagi lebih selain kerjasama antara satu sama lain perlu beri yang terbaik. Dua perlawanan awal untuk mendapatkan mata semaksimum boleh untuk jamin tempat ke pusingan seterusnya," katanya.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.
Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.
Malaysia tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini.
Sebagai acara pemanas badan, pasukan bimbingan Pan Gon yang tiba di Doha pada 1 Jan lepas dijadual bertemu Syria bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Isnin ini.
-- BERNAMA