Muhammad Ridwan, Nurul Izzah tewas dalam saingan masing-masing di Track Nations Cup UCI 2024

Bernama
April 14, 2024 14:17 MYT
Dalam acara keirin lelaki Muhammad Ridwan gagal melepasi pusingan pertama repechage selepas dia menduduki tempat kedua dan di belakang pemenang dari Belanda, Jeffrey Hoogland. - Gambar fail/Facebook Muhammad Shah Firdaus Sahrom
KUALA LUMPUR: Kedua-dua pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mempamerkan aksi mengecewakan dalam kempen Track Nations Cup UCI (International Cycling Union) 2024 di Milton, Kanada, Sabtu.
Muhammad Ridwan dan Nurul Izzah Izzati tersingkir awal dalam acara masing-masing pada pusingan ketiga dan terakhir kejohanan yang berlangsung di Mattamy National Track Cycling Centre.
Dalam acara keirin lelaki Muhammad Ridwan gagal melepasi pusingan pertama repechage selepas dia menduduki tempat kedua dan di belakang pemenang dari Belanda, Jeffrey Hoogland dalam saringan enam.
Pelumba pertama dalam setiap saringan layak ke pusingan kedua.
Pemain dari Johor itu terpaksa bersaing pada pusingan pertama repechages selepas dia mendapat tempat keempat dalam saringan empat pusingan pertama.
Pelumba pertama dalam setiap saringan layak ke pusingan kedua manakala semua pelumba lain mara ke pusingan pertama repechages.
Sementara itu pelumba basikal trek wanita negara yang sedang meningkat naik Nurul Izzah tewas kepada Luz Daniela Gaxiola Gonzalez dari Mexico dalam saringan pertama final pecut wanita 1/16.
Pelumba berumur 20 tahun itu sebelum itu mara ke final 1/16 selepas dia berada di tempat ke-28 dan mendapat tempat di kedudukan terakhir senarai untuk ke peringkat seterusnya dalam pusingan kelayakan.
Muhammad Ridwan dan Nurul Izzah Izzati akan kembali beraksi hari ini masing-masing dalam acara pecut lelaki dan keirin wanita.
-- BERNAMA
#pelumba basikal trek negara #Muhammad Ridwan Sahrom #Nurul Izzah Izzati Mohd Asri #Track Nations Cup UCI
;